'Saya kehilangan sahabat, staf yang baik'
SHAH ALAM - Pengerusi Lembaga Pengarah merangkap Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub menyifatkan pemergian Datuk Abd Jalil Ali sebagai kehilangan besar buat dirinya dan syarikat.
Beliau menganggap Abd Jalil bukan sahaja seorang kakitangan kanan di Sinar Harian tetapi juga seorang sahabat yang baik.
Menurutnya, Abd Jalil juga merupakan antara individu penting dan banyak memberi sumbangan ketika penubuhan Sinar Harian kira-kira 14 tahun lalu.
"Dia (Abd Jalil) dah ikut (bekerja bersama) saya hampir 30 tahun, dia bersama-sama saya bina Kumpulan Media Karangkraf. Jadi (pemergian beliau) adalah sebuah kehilangan yang besar untuk saya.
"Saya bukan sahaja kehilangan seorang staf tapi lebih kepada sahabat yang dikenali sebagai seorang yang ceria. Jadi memang sebuah kehilangan besar bagi kami (Sinar Harian). Bagi saya (secara peribadi) hilang kawan, hilang sahabat," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, kali terakhir beliau bertemu Abd Jalil kira-kira empat minggu lalu ketika Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian itu datang ke pejabat.
"Kali terakhir jumpa (Abd Jalil) empat minggu lepas ketika dia datang ke Karangkraf dan saya sempat minum bersamanya.
"Kami berborak macam biasa dan dia pun berjenaka seperti biasa," katanya.
Jenazah Abd Jalil yang meninggal pada usia 66 tahun akibat penyakit buah pinggang dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya hari ini.
Terdahulu, anak ketiga Abdul Jalil, Mohd Haikal dalam Facebooknya mengesahkan bahawa bapa beliau meninggal dunia pada jam 6.32 pagi ini.
Abd Jalil, 66, berpengalaman lebih 47 tahun dalam bidang penulisan dan kewartawanan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Profesor Adjung di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!