Pindaan kepada Akta 355
PINDAAN kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih popular dengan Akta 355 kembali diperkatakan oleh masyarakat setelah jawapan ringkas diberikan Timbalan Menteri Agama sewaktu menjawab soalan parlimen baru-baru ini.
Timbul pelbagai isu yang dipolemikkan pelbagai pihak terutamanya mengenai kesediaan pihak Kerajaan meminda Akta tersebut.
Dilaporkan di media Timbalan Menteri, Ahmad Marzuk Shaary menjawab Akta tersebut akan dipinda dan memastikan ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mungkin polemik timbul akibat jawapan yang terlalu ringkas dibacakan di Parlimen.
Secara logiknya memang semua undang-undang atau pindaan undang-undang memang perlu dipastikan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan membawa risiko kepada ia mungkin akan diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah.
Jadi jawapan tersebut diambil kesempatan pihak tertentu bagi kepentingan tertentu.
Dalam penjelasan Timbalan Menteri tersebut di luar Parlimen beliau menyatakan maksud jawapan beliau adalah pihak Kerajaan perlu merujuk kepada pemegang taruh khususnya Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Raja-Raja sebelum dapat membentangkannya di Parlimen.
Hal yang demikian adalah disebabkan Akta 355 tersebut menyentuh bidang kuasa Dewan Undang Negeri di dalam menggubal hukuman bagi kesalahan jenayah syariah. Ia juga pasti akan melibatkan mahkamah syariah di mana kuasa Raja-Raja Melayu akan disentuh.
Bagaimanapun, timbul pula persoalan semasa Ahli Parlimen Marang, Tuan Guru Abdul Hadi Awang membentangkan usul persendiriannya bagi meminda Akta 355 tersebut beliau tidak pula merujuk kepada pemegang taruh tersebut.
Untuk penjelasan pada pandangan saya Usul Persendirian Ahli Parlimen Marang tersebut tidak memerlukan konsultasi dengan pemegang taruh kerana setiap usul persendirian hanya perlu memenuhi kriteria tertentu sahaja untuk bacaan kali pertama.
Kriteria pembentangan usul persendirian adalah berbeza dengan usul dari pihak kerajaan.
Semasa pembentangan usul persendirian ini ahli parlimen boleh membangkitkan isu perundingan dengan pemegang taruh ini, namun usul persendirian tersebut sudah diluluskan Parlimen.
Konsultansi
Sebenarnya setelah bacaan kali pertama suatu usul persendirian diluluskan, usul tersebut akan diambil alih oleh pihak kerajaan. Jadi di sinilah pihak Kerajaan perlu membuat konsultansi dengan pemegang taruh.
Dalam konteks Akta 355 tersebut dinyatakan pihak kerajaan yang akan membentangkan Rang Undang-Undang baru bagi meminda Akta 355 tersebut. Oleh yang demikian adalah betul ungkapan pihak Kerajaan perlu merujuk kepada pemegang taruh tersebut.
Cumanya jawapan yang terlalu umum tersebut memberi pelbagai anggapan kepada masyarakat awam. Seharusnya penjelasan diberikan dengan terperinci di dalam Parlimen tersebut.
Timbul juga persoalan semasa pindaan sebelum ini mengikut rekod tidak ada konsultansi dengan pemegang taruh kenapa sekarang mahu mengubah cara pindaan.
Pada pandangan saya pula amalan terdahulu tidak boleh menjustifikasikan amalan sekarang. Jika peruntukan dan syarat itu jelas ia wajib dipatuhi walaupun sebelum ini tidak dilakukan.
Di pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, terdapat suatu jawatankuasa yang telah lama ditubuhkan dinamakan sebagai Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil yang ketika ini dipengerusikan Tan Sri Syeikh Ghazali Abdul Rahman.
Dahulu Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim merupakan pengerusi Jawatankuasa ini. Saya sendiri pernah menganggotai Jawatankuasa ini untuk tempoh hampir lapan tahun sehingga 2019.
Berbalik kepada Jawatankuasa ini, sebenarnya jawatankuasa ini berperanan membuat konsultansi dengan negeri-negeri di dalam pelbagai isu perundangan ke arah penyeragaman undang-undang syariah antara negeri di Malaysia.
Oleh hal yang demikian jawatankuasa ini akan berperanan untuk berunding dengan negeri-negeri dalam isu pindaan kepada Akta 355 ini juga nanti.
Saya sangat berharap pindaan kepada Akta 355 ini dapat dibawa oleh pihak Kerajaan bukan sahaja dengan menaikkan hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah tetapi juga menambah bentuk hukumannya juga seperti hukuman yang bersifat restoratif, pendidikan dan yang menyentuh rohani.
Hal ini sangat penting kerana kesalahan jenayah syariah kebanyakannya adalah kesalahan yang tidak mempunyai ‘mangsa’. Ia ada jenayah di sisi agama, perbuatan atau kesalahan terhadap ALLAH SWT dan RasulNya.
Oleh itu pendekatan mendidik adalah lebih baik berbanding dengan hukuman. Hukuman seperti pemenjaraan pula perlu juga diasingkan daripada penjenayah sivil lain seperti perompak, perogol, pencuri ataupun pembunuh.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!