Pemilihan tayar penting bantu pecutan
PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo mahu memastikan penggunaan tayar yang betul pada jenteranya dalam usaha mencatatkan kejayaan ketiga Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno hari ini.
Quartararo berkata, pemilihan tayar yang betul akan membantunya menunggang dengan lebih selesa khususnya untuk memecut di sepanjang 10 pusingan terakhir di litar itu.
“Kelmarin (semalam), saya rasa ada masalah dengan jentera saya berkemungkinan berpunca daripada tayar yang digunakan hinggakan saya terpaksa melakukan gaya tunggangan yang sedikit berbeza terutamanya apabila melalui selekoh dan juga di laluan lurus.
“Saya berharap agar pihak teknikal pasukan dapat menyediakan tayar yang betul pada jentera saya pada hari perlumbaan sebenar esok (hari ini) kerana penggunaan tayar yang betul juga membolehkan saya untuk melakukan tunggangan dengan lebih selesa,” katanya.
Pada sesi kelayakan kelmarin, Quartararo mencatatkan masa 1 minit 56.502 saat, lebih tujuh saat daripada rakan sepasukan, Franco Morbidelli.
Sementara itu, Morbidelli berharap agar penggunaan tayar yang betul mampu meneruskan kejayaan pasukan pada saingan kali ini.
Katanya, penggunaan tayar baharu itu dilihat lebih sesuai kerana ia (tayar) lebih lembut dan membantu tunggangan yang dilakukannya.
“Antara perkara yang perlu dilihat dan diambil berat dalam saingan MotoGP kali ini adalah penggunaan tayar yang betul untuk menjamin tunggangan yang lebih baik dan selesa.
“Untuk itu, kita menggunakan tayar baharu untuk perlumbaan hari ini dalam usaha memburu kejayaan ketiga di Brno,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!