Selamat maju jaya Luqman Hakim

Luqman Hakim ketika menjalani latihan bersama skuad bola sepak bawah 19 tahun.
Luqman Hakim ketika menjalani latihan bersama skuad bola sepak bawah 19 tahun.
A
A
A

MINGGU ini peminat bola sepak tempatan menyaksikan perasmian Luqman Hakim Shamsudin sebagai pemain baharu KV Kortrijk (KVK) selepas menandatangani kontrak lima tahun dengan kelab berpangkalan di Belgium itu.

Apa penulis dapat melihat sebahagian besar penyokong teguh memberikan sokongan kepada anak jati Kota Bharu berusia 18 tahun ini dalam misi melebarkan kariernya di bumi Eropah.

Melihat setiap komen positif yang diberikan oleh peminat menerusi laman sosial, perasaan itu bagai menyaksikan seorang bapa atau ibu yang sedang mahu menghantar anak melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Adalah naluri ibu bapa dengan memberikan pesanan, amaran dan sentiasa mengingatkan cabaran belajar di peringkat tertinggi universiti tidak sama seperti zaman persekolahan yang lebih menuntut kemahiran berdikari cukup tinggi.

Malah kali ini penulis cukup yakin bahawa peminat tempatan tidak begitu menuntut Luqman supaya menjadi setaraf dengan legenda Korea Selatan, Park Ji Sung yang pernah menabur bakti bersama Manchester United dan Son Heung-min yang menjadi bintang di Tottenham Hotspur atau mana-mana pemain Asia menyinar di pentas Eropah.

Sebaliknya penulis sendiri percaya bahawa penyokong sendiri tidak akan memberikan tekanan tinggi kepada Luqman untuk menjadi bintang Asia di Eropah sebaliknya lebih mengharapkan Luqman membuat acuan sendiri dalam usaha menjadi pintu keluar kepada pemain tempatan lain berhijrah ke luar negara.

Nasihat penulis kepada Luqman supaya kerja lebih keras, disiplin dan sentiasa merendah diri baik ketika berada dalam dan luar padang.

Lebih tepat, Luqman harus memastikan risiko pemilik KVK merangkap pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan adalah merupakan satu keputusan tepat biarpun keputusan beliau untuk membawa Luqman tidak dipersetujui oleh pihak pengurusan KVK sendiri sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Vincent sebelum ini menegaskan beliau yakin KVK dapat menjaga Luqman dengan baik dalam misi mengangkat pemain tempatan dan imej negara di peringkat Eropah atau dunia pada suatu hari nanti di mana sentimen mengangkat nama Malaysia sentiasa menjadi agenda nombor satu buat dirinya.

Penulis ingin sekali lagi mengingatkan kepada Luqman jangan sesekali tertekan dengan tekanan itu dan ‘bercakap’ sahaja di atas padang adalah jalan terbaik untuk menepis sentimen barat kepada kebolehan seorang anak muda dari Malaysia.

Jadi, penulis percaya dengan semangat dan keazaman Luqman itu dijangka mampu mengharungi setiap detik sukar akan datang dan menjadi satu kepuasan buat penulis dan penyokong bola sepak negara dapat menutup mulut pengkritik dari negara barat pada suatu hari nanti.

Dalam masa yang sama, penulis berharap Luqman dapat meniru semangat patriotisme Vincent yang sentiasa berusaha keras untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Sama seperti Luqman, Vincent bermula ‘kosong’ dalam dunia bola sepak tetapi berkat kesabaran dan kegigihan, nama Vincent Tan yang sentiasa memperjuangkan agenda nama Malaysia kini mula dikenali seluruh dunia.

Tidak dilupakan juga Luqman juga harus mengikuti semangat pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengangkat nilai kelab Malaysia di kelas berbeza.

Penulis berharap kedua-dua mentaliti ini harus tersemat dalam diri Luqman dengan sentiasa mengingatkan betapa bangganya menjadi rakyat Malaysia.

Akhir kata daripada penulis, yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang.

Selamat maju jaya adikku!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!