Terima kasih Malaysia

Tambak Johor yang menjadi laluan utama harian rakyat Johor dan Singapura ulang-alik ke dua negara.
Tambak Johor yang menjadi laluan utama harian rakyat Johor dan Singapura ulang-alik ke dua negara.
A
A
A

SINGAPURA menyambut Hari Kebangsaan yang ke-55 hari ini, 9 Ogos 2020. Tahun ini, kami menyambutnya sedang kami dilanda pandemik sejagat dan krisis ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Berjuta-juta orang telah dijangkiti Covid-19 di seluruh dunia, dan jumlah jangkitan dan kematian terus meningkat setiap hari.

Sempadan-sempadan telah ditutup, keluarga dan rakan-rakan terpisah, dan perniagaan-perniagaan menggulung tikar. Singapura dan Malaysia tidak terkecuali.

Laluan darat yang sebelum ini sesak dan paling sibuk di dunia, serta laluan udara antara Singapura dengan Malaysia kini menjadi sepi.

Syarikat-syarikat dan para pekerja kita telah terjejas disebabkan langkah-langkah yang dilaksanakan untuk mengekang Covid-19 dan melindungi rakyat.

Pandemik ini juga berlaku di tengah-tengah landskap ekonomi dan geopolitik sejagat yang kian berubah. Hubungan antara Amerika Syarikat dengan China menjadi semakin rumit akibat Covid-19, dan ini akan memberikan pelbagai kesan yang meluas kepada semua negara.

Gangguan pada hubungan perdagangan dan rantaian bekalan serta kelembapan ekonomi sejagat akan menjejas arus pertumbuhan di rantau ini. Beberapa tahun akan datang merupakan suatu masa yang sukar dan mencabar bagi kita semua.

Artikel Berkaitan:

Walau bagaimanapun, saya berharap dengan semangat muhibah, kepercayaan yang strategik dan kerjasama, Singapura dan negara-negara jiran kita akan terus berkembang maju.

Saya juga yakin bahawa Singapura dan Malaysia akan terus bekerja rapat untuk mengatasi cabaran-cabaran yang kita sama-sama hadapi.

Tambahan pula, COVID-19 telah menunjukkan betapa kita saling bergantung kepada satu sama lain dan bagaimana kita telah memperkukuh kerjasama yang telah memanfaatkan kedua-dua negara selama lebih lima setengah dekad untuk berganding bahu bagi mengharungi cabaran yang kita sama-sama hadapi.

VANU GOPALA MENON
VANU GOPALA MENON

Pertama, kita bertindak dengan segera untuk menangani kesan langsung akibat pandemik ini.

Singapura dan Malaysia saling membantu bawa pulang rakyat masing-masing yang terkandas di negara-negara lain.

Yayasan Temasek antara yang turut menyumbang kit ujian swab dan bekalan perubatan yang lain kepada kemudahan-kemudahan perubatan barisan hadapan di Malaysia.

Kedua-dua negara memastikan rantaian bekalan masing-masing tetap terbuka supaya pergerakan barangan keperluan dapat diteruskan.

Kedua, kita bekerjasama dalam isu-isu dasar yang lebih luas ekoran pandemik ini.

Kita membentuk Jawatankuasa Kerja Khas Singapura-Malaysia mengenai Covid-19, yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Teo Chee Hean dan Menteri Kanan dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini untuk memastikan orang-orang dengan urusan penting, dan juga barangan serta perkhidmatan yang perlu dapat bergerak dengan selamat.

Kerajaan Negeri Johor, yang diketuai Menteri Besarnya, Datuk Ir Hasni Mohammad, memainkan peranan penting untuk mempermudahkan urusan ini dan menyelesaikan sebarang isu di peringkat masyarakat.

Kementerian Kesihatan kedua-dua negara mengetuai Kumpulan Kerja Bersama yang kerap bertukar-tukar maklumat terkini dan membincangkan tentang protokol.

Ketiga, kita telah mula membuka semula sempadan kita dengan selamat secara berperingkat.

Menteri-menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Malaysia) telah bekerja rapat untuk menyelesaikan pengaturan-pengaturan bagi kumpulan pelawat yang berbeza-beza.

Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) akan dilancarkan, dan mula menerima permohonan mulai 10 Ogos.

RGL akan membolehkan perjalanan rentas sempadan atas urusan perniagaan penting dan urusan rasmi.

PCA pula membenarkan penduduk Singapura dan Malaysia dengan pas imigresen jangka panjang untuk memasuki negara di mana mereka bekerja bagi tujuan perniagaan dan kerja.

Kita sedang membincangkan pelaksanaan cadangan-cadangan lain untuk ulang-alik rentas sempadan yang selamat bagi lawatan-lawatan kecemasan dan tugas harian.

Dengan adanya langkah-langkah bagi memastikan kesihatan terjaga, usaha-usaha ini akan membolehkan kedua-dua pihak untuk mengembalikan interaksi antara rakyat dan pertukaran ekonomi secara progresif.

Keempat, kita meneruskan usaha kerjasama dua hala yang lebih besar. Hubungan Singapura-Malaysia sangat erat dan merangkumi pelbagai aspek, meliputi banyak bidang.

Melalui persidangan video dan panggilan telefon, para pemimpin dan pegawai kita telah meneruskan perbincangan mengenai projek-projek dua hala yang lain seperti Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Saya gembira kerana perbincangan untuk menyambung semula kerja-kerja bagi Laluan RTS telah selesai, dan disempurnakan pula dengan upacara bersejarah di Koswe pada 30 Julai.

Sebaik sahaja selesai, Laluan RTS akan memanfaatkan jarak kita yang dekat untuk mengeratkan lagi rakyat dan ekonomi kita.

Covid-19 bukan ujian pertama, dan ia bukanlah yang terakhir, untuk kedua-dua negara.

Tindakan secara kolektif yang kita ambil menunjukkan semangat positif kerjasama dua hala dan bagaimana kita boleh mencapai lebih banyak dengan berganding bahu.

Ini akan memanfaatkan kita pada tahun-tahun akan datang.

Sebuah lagu klasik ciptaan Pak Zubir Said, yang juga penggubah Lagu Kebangsaan Singapura, telah tersebar di dalam talian dan membangkitkan semangat rakyat.

Lagu ini berjudul ‘Semoga Bahagia’. Rangkap pertama lagu ini berbunyi, ‘Sama-sama maju ke hadapan’. Saya rasa rangkap ini masih amat sesuai pada masa ini.

Disebabkan keadaan sekarang, sambutan Hari Kebangsaan Singapura ke-55 nanti agak berbeza.

Ia merupakan masa untuk memberikan penghormatan kepada para pekerja barisan hadapan dan para pekerja penting yang menjadi wira-wira kami dalam krisis yang belum pernah berlaku ini.

Kami juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kami di Malaysia dan negara-negara lain yang telah berganding dengan kami dalam menempuh cabaran-cabaran ini bersama.

*** Vanu Gopala Menon ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!