Hanya separuh pengunjung dibenar bermalam di tapak perkhemahan
KUALA LUMPUR - Kegiatan perkhemahan dan pendakian gunung yang melibatkan aktiviti bermalam sama ada dilakukan secara persendirian atau berkeluarga dihadkan kepada 50 peratus daripada jumlah kapasiti maksimum sesebuah tapak perkhemahan.
Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop berkata, perkara itu antara langkah penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) terkini kepada pengunjung yang perlu dipatuhi sekiranya berkunjung ke Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Contohnya, kapasiti tapak perkhemahan di Sungai Pauh, Cameron Highlands ditetapkan seramai 70 orang sahaja berbanding kapasiti penuh 150 orang, begitu juga aktiviti berkelah dan berkhemah di Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang ditetapkan seramai 100 orang dalam satu-satu masa berbanding kapasiti maksimum 250 orang.
“Pada masa sama, Jabatan Perhutanan Negeri juga boleh menetapkan syarat tambahan agar semua SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi termasuk pemakaian pelitup muka semasa menjalankan aktiviti rekreasi statik (pergerakan setempat) dalam hutan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Justeru katanya, setiap pengunjung perlu membuat permohonan terlebih dahulu sekiranya mahu menjalankan aktiviti di Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri melalui sistem permohonan dalam talian atau mendapatkan permit masuk terus melalui Jabatan Perhutanan Negeri.
Mohd Yussainy berkata, bagi aktiviti rekreasi dinamik seperti ‘merentas hutan’ dan pendakian gunung pula, pendakian harus dilakukan dengan mengamalkan jarak tiga meter antara setiap pendaki selain mengekalkan nisbah lima pendaki bagi setiap seorang malim gunung.
Sementara itu, beliau berkata, aktiviti sukan lasak seperti motorcross, ATV, basikal bukit, rock climbing, luncur layar serta aktiviti tali seperti menakik turun dan daki tembok yang sebelum ini dilarang juga telah dibenarkan.
"Turut dibenarkan ialah majlis keramaian yang tidak melebihi 20 orang dalam satu kumpulan, sewaan perkhidmatan rumah bot dengan kapasiti tidak melebihi 50 peratus dan penganjuran kursus atau latihan teknikal jabatan.
“Harus diingatkan setiap pengendali, penggiat aktiviti lasak atau pengunjung mestilah mematuhi SOP terkini antaranya memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu hingga tiga meter selain mewajibkan pemakaian pelitup muka dan digalakkan menggunakan peralatan sendiri,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!