Atasi kepincangan Kolej Vokasional

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir
Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek perlu lebih agresif dalam menangani kepincangan kemasukan pelajar ke Kolej Vokasional (KV) bagi memulihkan keyakinan ibu bapa terhadap sistem pendidikan vokasional.

Exco Pendidikan Armada Nasional, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, kerajaan lepas begitu culas dalam melaksanakan agenda transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khususnya di KV milik kerajaan.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini juga dilihat tidak mempunyai hala tuju dalam mengendalikan pendidikan vokasional dengan tiada laluan pendidikan yang jelas bagi pelajar.

“Malah kerajaan lalu di bawah BN telah merumitkan lagi keadaan apabila seakan mewujudkan ‘buffer system’ dalam laluan pendidikan TVET berfaktorkan peluang dan ruang pekerjaan yang tidak pernah diwujudkan dengan ketara.

“Lebih pincang apabila hala tuju yang samar ini turut telah gagal untuk mentakrifkan akreditasi bagi mengiktiraf kursus-kursus Diploma Vokasional (DV) melalui KV dan kesannya dapat dilihat menerusi sesi kemasukan pelajar ke kolej tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kajian dilakukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati jumlah kemasukan ke KV tidak mencapai jumlah yang lazimnya dicatat sebelum ini.

Jelasnya, ia dipercayai berpunca dari penawaran kursus di KV yang telah berkurangan kepada hanya 287 jenis kursus meliputi KV seluruh negara berbanding 640 kursus yang ditawarkan tahun-tahun sebelum ini.

“Malah Biro Pendidikan Armada Nasional mendapati terdapat sebuah KV di Perak yang mencapai peratusan kemasukan terendah kebangsaan dengan hanya tujuh orang pelajar mendaftar dari 120 ruang kemasukan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

“Suatu langkah yang benar-benar proaktif perlu diambil antaranya menyelesaikan isu akreditasi dalam pendidikan di KV serta aliran sistem pendidikan dengan merombak hala tuju atau laluan pendidikan dengan lebih agresif,” ujarnya.

Tegasnya, mengurangkan jumlah kursus sehingga berkurangnya kemasukan dengan tidak menyelesaikan isu akreditasi dan hala tuju TVET termasuk sistem pendidikan nasional secara agresif tidaklah mencerminkan semangat serta kesungguhan kerajaan Malaysia Baru.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!