Wartawan Indonesia turut berduka di atas pemergian Abd Jalil

Gambar kenangan Asro (dua dari kanan) bersama Allahyarham Abd Jalil (kanan) semasa majlis perkahwinan anak Johan (dua dari kiri) pada 2018.
Gambar kenangan Asro (dua dari kanan) bersama Allahyarham Abd Jalil (kanan) semasa majlis perkahwinan anak Johan (dua dari kiri) pada 2018.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemergian Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Allahyarham Datuk Abd Jalil Ali bukan sahaja dirasai industri media di negara ini malah industri kewartawanan Indonesia.

Ketua Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) Indonesia, Asro Kamal Rokan berkata, beliau mengenali Allahyarham sebagai tokoh wartawan yang berpengaruh di Malaysia dan mereka bersama-sama terlibat dalam Iswami.

Katanya, sepanjang karier dalam kewartawanan lebih 47 tahun, Allahyarham juga memberi sumbangan besar dalam memperkuatkan hubungan pengamal media Malaysia-Indonesia.

"Saya mengenal (Allahyarham) Datuk Jalil sebagai seorang yang ramah, suka bercanda (berjenaka) dan tokoh wartawan berpengaruh di Malaysia.

"Datuk Jalil juga hadir saat Hari Pers (Akhbar) Nasional di Bengklu dan Ambon, Indonesia," katanya menerusi catatan di Facebook beliau.

Allahyarham Abd Jalil (kanan) menjadi panelis pada diskusi Iswami di Putrajaya pada Februari 2019 bersama Asro (dua kiri), Johan (tengah), Ilham (dua kanan) dan ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya.
Allahyarham Abd Jalil (kanan) menjadi panelis pada diskusi Iswami di Putrajaya pada Februari 2019 bersama Asro (dua kiri), Johan (tengah), Ilham (dua kanan) dan ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya.

Abd Jalil, 66, yang menghidap penyakit buah pinggang meninggal dunia kira-kira jam 6.32 pagi kelmarin di Hospital Sunway, Subang Jaya.

Menurutnya, sepanjang bergiat di dalam Iswami, beliau dan Allahyarham yang telah berkhidmat dengan Kumpulan Karangkraf (Karangkraf) sudah beberapa kali bertemu.

Artikel Berkaitan:

"Kali terakhir kami bertemu pada 15 Februari 2019 semasa sejumlah pemimpin redaksi dan wartawan senior Indonesia mengadakan pertemuan di Putrajaya.

"Ketika itu, Allahyarham Abd Jalil bersama saya dan tokoh Wartawan Malaysia, Tan Sri Johan Jaaffar serta wartawan senior Indonesia, Ilham Bintang menjadi panelis membahaskan hubungan wartawan kedua-dua negara.

"Pagi setelah dialog itu, kami diajak ke penerbitan Karangkraf, bertemu pemiliknya, Datuk Dr Husammuddin Yaacub, melakukan dialog serta meninjau percetakan al-Quran.

"Sebelumnya, setiap (kali) saya ke Kuala Lumpur, sering bertemu Datuk Jalil termasuk ketika pesta (majlis) perkahwinan anak Tan Sri Johan pada 2018. Ketika itu saya bersama wartawan senior, N Syamsuddin Ch Haesy," katanya.

Tambahnya, Allahyarham sangat aktif memperkuat hubungan Malaysia-Indonesia sebagai negara serumpun dalam budaya Melayu yang sama.

"Satu-satu sahabat pergi, susul menyusul ke tempat sama, menemui 'Pemilik' yang menciptakannya.

"Selamat jalan Datuk Jalil, semoga ALLAH SWT menempatkan Allahyarham di sisiNya, di sebaik-baik tempat, seindah-indah tempat - Jannatun Na'im, syurga penuh kenikmatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!