Kerajaan sedia bantu PKS rancakkan semula aktiviti perniagaan
KOTA KINABALU - Kerajaan bersedia membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro untuk mencergaskan semula industri mereka agar negara kekal berada di landasan yang betul ke arah mencapai sasaran pemulihan ekonomi pada 2021.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, justeru pihaknya bersama agensi lain akan memastikan industri PKS seperti makanan dan minuman, penternakan dan automotif mampu menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurutnya, agensi berkenaan termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, SIRIM Bhd serta Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia.
“Kita memerlukan sektor (PKS) ini agar memulakan segera aktiviti mereka, kerana kita mahu ekonomi negara dapat dipulihkan pada 2021.
“Ketika ini kita berada di landasan yang betul dalam memastikan sasaran pemulihan ekonomi dapat dicapai,” katanya kepada pemberita selepas bertemu usahawan bumiputera sempena lawatan kerja tiga hari di Sabah di sini hari ini.
Mohamed Azmin berkata, Bank Negara Malaysia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi adalah lembap tahun ini.
"Bagaimanapun sekiranya Malaysia dapat segera memulihkan ekonomi pada 2021 maka ia bertepatan dengan unjuran oleh badan-badan antarabangsa bahawa Malaysia menjadi antara negara terawal mengalami pertumbuhan ekonomi iaitu pada kadar 6.3 hingga 7.5 peratus," katanya.
Beliau berkata, pembukaan ekonomi sejak Mei lepas juga telah mengurangkan jumlah pengangguran akibat kehilangan pekerjaan daripada kira-kira 860,000 kepada 773,000 orang pada Jun dan angka itu dilihat sebagai satu perkembangan yang positif.
“Oleh itu, saya berharap PKS termasuk PKS mikro agar segera memulakan (aktiviti) ekonomi dan kementerian akan terus membantu melalui beberapa inisiatif yang ada untuk bergerak maju ke depan bagi meningkatkan produktiviti PKS,” katanya.
Mengulas mengenai pertemuan itu, Mohamed Azmin berkata, ia diadakan bagi mendengar cabaran yang dihadapi usahawan PKS dalam usaha merancakkan semula aktiviti mereka selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sementara itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan, beliau berkata MITI bersama agensinya akan terus memastikan pertumbuhan dinamik PKS bumiputera di Sabah yang terlibat dalam sektor pembuatan.
Beliau berkata, perusahaan milikan wanita di Sabah juga mempunyai prospek untuk memberi anjakan kepada pertumbuhan ekonomi di negeri ini.
MITI akan membantu memberi kemudahan dalam bentuk pembangunan kapasiti, insentif pemotongan cukai untuk automasi serta program padanan perniagaan dengan pengimport luar, katanya.
Beliau berkata, PKS bumiputera di Sabah perlu segera mengambil langkah untuk memulihkan operasi perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“PKS Sabah perlu mengambil peluang daripada program-program yang disediakan MITI agar dapat mengembalikan aktiviti produktiviti mereka seperti sebelum Covid-19.
"Ini penting bagi memastikan manfaat daripada inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara dapat berterusan di samping isu utama pengoperasian seperti aliran tunai dan penempatan pekerja dapat diatasi," katanya.
Mohamed Azmin yang mengetuai delegasi MITI ke Sabah bertemu kira-kira 100 peserta terdiri daripada PKS sektor makanan dan minuman, pertanian, automotif, minyak dan gas serta pelancongan.
Antara maklumat yang dikongsi pada sesi itu termasuk mengenai Program Penilaian Kesediaan Industry4WRD (RA) dan Intervensi Perniagaan Industry4WRD; Dana Pelaburan Strategik Tempatan; Elaun Modal Dipercepat; Program eBizMatch, eTRADE dan Geran Pembangunan Pasaran (MDG). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!