Kesilapan juruterbang didakwa punca nahas Air India Express
NEW DELHI - Pesawat Air India Express yang membawa 190 rakyat terkandas di Dubai sebelum terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Calicut di Kerala dan meragut 19 nyawa pada Jumaat lalu didakwa cuba menyentuh landasan pada jarak terlalu tinggi.
Semalam, Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Arun Kumar memaklumkan pesawat itu mendarat pada jarak 915 meter di landasan sepanjang 2,740 meter tersebut.
“Ia jelas melanggar kawasan keselamatan pada jarak 240 meter dengan kelajuan tinggi hingga terjunam ke dalam cenuram,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat terhempas, putus dua ketika cuba mendarat kali ketiga
Ketika disoal CNN News-18 sama ada nahas itu disebabkan oleh penilaian yang salah oleh juruterbang, Kumar menjawab ‘ia kelihatan seperti itu’.
Menurutnya, pesawat tersebut sepatutnya mendarat sebelum ketinggian 304 meter, sambil menambah perkara itu hanya dapat disahkan menerusi maklumat dimuat turun daripada perakam data penerbangan.
Dalam perkembangan berkaitan, kesemua mangsa penumpang dan anggota penyelamat turut diminta menjalani ujian saringan Covid-19 selepas seorang mangsa terkorban disahkan positif virus tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!