Kena ceramah sepanjang malam jika langgar perintah berkurung
KIGALI - Penduduk Rwanda yang melanggar perintah berkurung atau tidak memakai pelitup muka akan dihantar ke stadium untuk diberikan ceramah sepanjang malam tentang bahaya koronavirus (Covid-19).
Langkah itu dibuat selepas data rasmi menunjukkan kira-kira 70,000 individu masih berdegil untuk mematuhi perintah berkurung yang bermula jam 9 malam (waktu tempatan) dan pemakaian pelitup muka yang telah diwajibkan kepada kesemua penduduk.
Sesi ceramah itu yang diawasi pengawal bersenjata akan berakhir menjelang waktu subuh dan mereka yang terlibat akan dihantar pulang dengan perintah ketat untuk menjalani kuarantin sendiri.
Mereka yang enggan menyertai sesi ceramah itu turut diberi pilihan untuk membayar denda berjumlah 25,000 Rwandan francs (RM108).
Di Kota Pasuruan, Jawa Timur, Indonesia pihak berkuasa juga mengambil tindakan tegas ke atas individu yang melanggar protokol kesihatan ditetapkan termasuk yang gagal mematuhi jarak sosial dan memakai pelitup muka.
Individu yang didapati berbuat demikian dikenakan hukuman perlu melakukan 'push up' dan membersihkan sampah di sekitar kawasan rondaan pihak berkuasa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!