FAM, MFL wajar perhalusi cadangan
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) khasnya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) digesa memberikan perhatian segera terhadap cadangan menempatkan tiga pasukan dari Kepulauan Borneo - Sabah, Sarawak United dan Kuching FA di Semenanjung bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 khasnya di Sarawak.
Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, cadangan itu dilihat sebagai satu cadangan yang baik berikutan situasi semasa kes Covid-19.
“Pada saya ini merupakan satu cadangan yang cukup baik dan perlu diberikan perhatian FAM dan MFL memandangkan saingan liga akan bermula hujung bulan ini.
“Cadangan ini wajar diperhalusi MFL kerana ia tidak hanya melibatkan Kuching FA, Sarawak United dan Sabah tetapi juga pasukan yang akan bertandang ke sana nanti.
“Sebenarnya selain kita bantu rakan-rakan kita di Kuching FA, Sarawak United dan Sabah, kita secara tidak langsung membantu pasukan-pasukan lain dalam mengharungi baki saingan Liga-M dengan lancar dan sempurna.
“Kita juga kena ingat biarpun dengan format satu pusingan mengharungi baki tujuh perlawanan ini juga akan turut mengambil kira aspek kos perjalanan, penginapan tidak hanya ketiga-tiga pasukan ini tetapi juga pasukan Liga-M lain yang sudah terjejas akibat pandemik Covid-19 ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Pada masa sama tegas Sathianathan, FAM dan MFL perlu lebih proaktif kerana ia melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan.
“Apabila perkara melibatkan soal keselamatan dan kesihatan dan kita sepatutnya kena lebih berjaga-jaga seterusnya mengambil langkah bersesuaian. Lagi pun, sekiranya pemain dari Sarawak dan Sabah datang ke Semenanjung atau pemain dari Semenanjung berkunjung ke Sarawak, Sabah, mereka terpaksa menjalani kuarantin dan ini sekali gus akan menjejaskan persiapan setiap pasukan pasukan.
“Lagi pun sekarang sudah tidak ada kelebihan selaku pasukan tuan rumah. Main di tempat sendiri atau tempat lawan sama sahaja sekarang kerana semua perlawanan diadakan tanpa penonton,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan cadangan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Sadek Mustaffa supaya ketiga-tiga pasukan dari Kepulauan Borneo itu ditempatkan Semenanjung Malaysia bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.
Cadangan Mohd Sadek juga turut mendapat sokongan beberapa bekas pemain Sarawak di samping disambut baik Kuching FA dan Sarawak United.
Mengenai aksi persahabatan berdepan kelab Liga Premier, UKM FC di Stadium UiTM Shah Alam kelmarin, Sathianathan yang juga ketua jurulatih Selangor berkata, The Red Giants masih perlu memperbaiki banyak kelemahan yang ketara selepas tidak beraksi sejak saingan liga ditangguh tiga bulan lalu.
Bagaimanapun jelas Sathianathan, dia tetap memuji komitmen tinggi dipamerkan pemainnya ketika menewaskan skuad The Varsity Boys itu, 3-0.
“Mereka nampak serasi, tetapi masih terdapat kelemahan ketara yang masih boleh kita atasi. Kita akan cuba kurangkan kesilapan sebelum saingan sebenar bermula nanti.
“Selain itu, kita juga sudah kena biasakan diri untuk beraksi di Stadium UiTM Shah Alam sebagai gelanggang baharu kita. Nak tak nak kita kena biasakan dengan keadaan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!