Cerita di sebalik tabir media

A
A
A

Ramai yang sudah berasa lega kerana wabak Covid-19 kini telah dapat dikawal. Walaupun kita masih lagi belum menang, namun amaran, peringatan dan nasihat terus diuar-uarkan oleh pihak media dari masa ke masa.

Pengamal media terdiri daripada wartawan, jurugambar, jurukamera di lapangan dan pelbagai petugas di studio, misalnya penyunting, juruberita, petugas media sosial dan jurubahasa isyarat memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat mengenai situasi Covid-19 sebenar manakala pegawai dan anggota Jabatan Penerangan sentiasa membuat hebahan dan pengumuman mengenai wabak ini melalui Info On Wheel (IOW) secara langsung di seluruh Malaysia.

Hebahan mengenai Covid-19 juga disumbangkan secara tidak langsung oleh warga maya yang menjalankan tanggungjawab sosial dalam memuat naik dan menyebarkan maklumat tepat.

Penggunaan media sosial juga semakin meluas dan kewartawanan konvensional bukan semata-mata kaedah sebaran maklumat. Ini kerana pengguna media sosial juga ibarat wartawan, 24 jam, berkarya tujuh hari seminggu dan ini dinamakan konsep citizen journalism atau kewartawanan masyarakat.

Sumbangan wartawan sebenarnya amat besar sebagai sumber maklumat. Mereka wajar diberikan kredit dalam menyalurkan maklumat walaupun pelbagai halangan dihadapi. Malahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan penghargaan kepada pengamal media yang berada di barisan hadapan untuk menyalurkan berita terkini mengenai Covid-19.

Media memainkan peranan penting melaporkan berita yang tepat berhubung pandemik terbabit. Namun pada hakikatnya pengamal media sebenarnya berhadapan dengan risiko yang tinggi dalam mendapatkan maklumat dan membuat liputan.

Sebagai contoh, wartawan perlu berada di lokasi untuk mendapatkan maklumat dan melihat keadaan sebenar mengenai pesakit yang terkena dengan wabak berkenaan. Dalam keadaan yang lain, terutamanya di peringkat awal wabak ini melanda, banyak maklumat yang mengelirukan kerana terlalu banyak sumber dan jurucakap yang membuat kenyataan yang bercanggah.

Keadaan itu menjadikan pengamal media lebih kritikal. Apatah lagi Covid-19 hadir pada waktu ‘wabak politik’ dan proses peralihan kuasa menyebabkan fakta sebenar dijadikan isu politik. Kenyataan oleh menteri dan pemimpin utama dan pihak berwajib yang disampaikan oleh pengamal media juga dinafikan dalam media sosial. Sehingga wujud keadaan ketidaktentuan dan kecelaruan dalam menyampaikan berita sebenar.

Artikel Berkaitan:

Mereka bukan sahaja berdepan ancaman Covid-19 yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Pengamal media sebenarnya mudah terdedah dengan penularan Covid-19, namun dalam masa sama perlu memburu berita. Liputan

Tinjauan penulis dalam kalangan beberapa wartawan daripada pelbagai syarikat dan pengamal media menunjukkan mereka terpaksa bertugas lebih 18 jam sehari untuk membuat liputan mengenai Covid-19. Cerita di sebalik tabir sebenarnya ramai pengamal media berkampung sehingga berminggu di bilik berita dan mencari berita walaupun berhadapan risiko dijangkiti wabak ini.

Keadaan ini timbul kerana ketika wabak ini melanda Malaysia, ramai pengamal media yang diberhentikan kerja dan mereka terpaksa bekerja dua kali ganda daripada biasa. Situasi itu menyebabkan kelimpahan berita untuk dilaporkan mengenai pandemik ini. Bilik berita dibebani dengan pemberhentian kerja menyebabkan kekurangan pemberita dan pengarang yang mengkhusus dalam kesihatan awam.

Cabaran juga tampil melalui penyebaran berita palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga mencacatkan kewibawaan berita arus perdana. Keadaan itu menyebabkan masyarakat keliru dan resah kerana tidak dapat memastikan kesahihan berita sebenar.

Dalam era media sosial apabila semua orang mampu menjadi ‘wartawan’ menyebabkan berita yang tidak disaring dan dipastikan kebenarannya bersebar dan menjadi viral. Ini menjadikan persaingan yang tidak terkawal sehingga masyarakat tidak lagi dapat membezakan wartawan bertauliah dan netizen.

Walaupun menempuhi cabaran, secara keseluruhannya pengamal media telah membuat kerja yang cemerlang dalam membuat liputan mengenai pandemik ini. Semoga usaha menyampaikan maklumat yang benar, tepat dan terkini mengenai Covid-19 terus menjadi amalan bidang kewartawanan dan menjadi wadah utama berita di Malaysia.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!