Atletico Madrid sahkan dua kes positif Covid-19
Gergasi La Liga, Atletico Madrid mengesahkan dua individu kelab berkenaan disahkan positif Covid-19 menjelang aksi suku akhir Liga Juara-Juara berdepan di Estadio Jose Alvalade, Lisbon awal pagi Jumaat ini.
Bagaimanapun menurut jurucakap kelab berkenaan, setakat ini masih belum ada pengesahan sama ada dua individu berkenaan merujuk kepada pemain, staf pelatih atau pegawai di kelab Los Rojiblancos itu.
Malah difahamkan, ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) telah pun dibuat terhadap skuad Los Rojiblancos itu di Ciudad Deportiva de Majadahonda selaras dengan garis panduan La Liga dan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
"Dukacita kami memaklumkan terdapat dua kes positif Covid-19 di kem ini dan dua individu berkenaan kini mengasingkan (kuarantin) diri di rumah masing-masing,"
"Kami di Atletico Madrid akan terus mengikuti semua protokol kesihatan awam yang relevan berhubung situasi terkini Covid-19 susulan dua kes berkenaan,” menurut jurucakap berkenaan.
Dalam pada itu, jurucakap berkenaan berkata skuad kendalian Diego Simeone itu dalam proses untuk mengadakan ujian Covid-19 kedua dalam masa terdekat.
Menurut jurucakap itu lagi, ujian berkenaan bakal mengesahkan situasi semasa pasukan selain mendedahkan mengenai status perjalanan pasukan ke Lisbon bagi mengharungi aksi suku akhir berkenaan.
“Ujian ini akan dibuat sebelum mengetahui status perjalanan ke Lisbon dijadualkan pada 13 Ogos, bagi menentang skuad kendalian Julian Nagelsmann itu.
"Pegawai kelab akan menghubungi UEFA mengenai potensi penjadualan semula perjalanan mereka dalam beberapa hari ini,
“Tetapi penangguhan perlawanan tidak dianggap sebagai satu kemungkinan pada tahap ini,” menurut jurucakap itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!