Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini

Bursa Malaysia dibuka tinggi buat seketika pagi ini sebelum susut mengambil petunjuk daripada prestasi berhati-hati pasaran serantau lain walaupun indeks utama Amerika Syarikat (AS) ditutup kebanyakannya kukuh Jumaat lepas.
Bursa Malaysia dibuka tinggi buat seketika pagi ini sebelum susut mengambil petunjuk daripada prestasi berhati-hati pasaran serantau lain walaupun indeks utama Amerika Syarikat (AS) ditutup kebanyakannya kukuh Jumaat lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia dibuka tinggi buat seketika pagi ini sebelum susut mengambil petunjuk daripada prestasi berhati-hati pasaran serantau lain walaupun indeks utama Amerika Syarikat (AS) ditutup kebanyakannya kukuh Jumaat lepas.

Para pelabur masih lagi mengawasi ketegangan baharu antara AS dan China.

Pada jam 9.06 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.27 mata kepada 1,571.87 berbanding 1,578.14 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks utama meningkat 1.15 mata kepada 1,579.29 ketika memulakan urus niaga pagi ini.

Bagaimanapun, pergerakan harga keseluruhan pasaran masih lagi positif dengan saham untung mengatasi rugi 464 berbalas 147, sementara 269 kaunter tidak berubah, 1,090 tidak diniagakan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 1.86 bilion saham bernilai RM452.27 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam notanya berkata, walaupun aktiviti dagangan mengukuh kepada rekod tinggi baharu, terdapatnya tanda-tanda kejatuhan harga sementara dengan para pelabur pantas mengaut keuntungan dalam persekitaran kemeruapan (overheating) pasaran.

"Di pasaran tempatan, kekurangan pemangkin baharu dan ketidaktentuan politik mungkin akan mengekang sebarang peningkatan.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga berpendapat penyusutan sementara adalah disebabkan keadaan terlebih beli dalam kalangan saham murah dan ini terbukti dengan pergerakan harga keseluruhan pasaran yang negatif,” katanya.

Untuk sektor yang menjadi tumpuan, dalam persekitaran ketidaktentuan baharu, saham-saham yang selamat (safe haven - pelaburan yang dijangkakan lebih bernilai sewaktu berlaku masalah dalam pasaran) dilihat lebih baik, disokong oleh harga emas yang berlegar menghampiri paras tinggi sepanjang masa.

Saham berkaitan penjagaan kesihatan mungkin sekali lagi mendapat tumpuan di celah-celah peningkatan kes Covid-19 seluruh dunia, tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank meningkat satu sen kepada RM7.51, Public Bank menokok empat sen kepada RM16.80 dan Tenaga naik lapan sen kepada RM11.02.

Top Glove jatuh 16 sen kepada RM27.98 dan Hartalega lemah 92 sen kepada RM18.22.

Saham-saham paling cergas pula, Borneo Oil menokok 1.5 sen kepada sembilan sen, Trive Property, Pegasus dan XOX, masing-masing menambah satu sen kepada tiga sen, lima sen dan 30 sen manakala Vicocom meningkat setengah sen kepada 3.5 sen

Saham paling untung ialah Hong Leong, INIX Technologies dan warannya dan Adventa, manakala saham paling rugi termasuklah Malaysia Pacific Industries, Hartalega, Kossan, Rubberex dan Comfort Gloves.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 31.03 mata kepada 11,335.34, Indeks FBM Emas Shariah Iebih rendah 51.52 mata kepada 13,446.03 dan Indeks FBMT 100 merosot 35.87 mata kepada 11,142.93.

Indeks FBM 70 turun 14.33 mata kepada 14,796.14 sementara FBM ACE melonjak 405.07 mata kepada 10,721.58.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 35.80 mata kepada 12,951.89, Indeks Perladangan menokok 2.52 mata kepada 6,966.27 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lebih rendah sebanyak 0.70 mata kepada 140.27. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!