DUN Kelantan rakam takziah kepada Lubnan
KOTA BHARU - Persidangan Kali Kedua Dewan Undangan Negeri Kelantan ke-14 hari ini merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Lubnan di atas musibah letupan besar yang berlaku Selasa lalu.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub dalam ucapan pembukaannya memberitahu, rakyat Kelantan berdoa semoga Lubnan kembali pulih dalam waktu terdekat.
"Saya bagi pihak Dewan Negeri Kelantan mengucapkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Lubnan dan turut serta bersedih atas musibah letupan besar yang berlaku di ibu kota Beirut, Lubnan pada petang Selasa, 4 Ogos lalu yang mengorbankan lebih 135 orang dan lebih 5,000 orang cedera parah.
"Semoga Lubnan kembali pulih dalam masa terdekat insya-ALLAH," katanya ketika ucapan alu-aluan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Dalam ucapan yang sama, Abdullah turut mengingatkan ahli-ahli Dewan supaya sentiasa menjaga diri dan berwaspada dengan pandemik koronavirus (Covid-19) dan mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan.
"Kita perlu patuh kepada SOP kementerian supaya dapat memutuskan rangkaian tersebut dan kita berdoa supaya negeri dan negara kita diselamatkan daripada sebarang musibah," katanya.
Persidangan kali ini dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Pada 13 April lalu, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas diadakan selama 45 minit sahaja.
Persidangan tertutup itu bermula pada 9 pagi dan dihadiri oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat kecuali Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapha Mohamed atas sebab yang dibenarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!