Tokoh media Hong Kong ditangkap
HONG KONG - Seorang tokoh media, Jimmy Lai yang banyak mengkritik dasar Beijing ditangkap hari ini di bawah undang-undang keselamatan kebangsaan baharu kerana didakwa berpakat dengan pihak asing.
"Mereka (anggota-anggota pihak berkuasa) menangkapnya pada jam 7 pagi. Para peguam kami sedang dalam perjalanan ke balai polis," kata seorang pembantu rapat Lai, Mark Simon.
Menurutnya, beberapa kakitangan daripada kumpulan media tokoh media Hong Kong itu turut ditangkap.
Seorang pegawai polis yang enggan mendedahkan namanya berkata, Jimmy, 72, ditangkap kerana didakwa berpakat dengan pihak asing yang menjadi kesalahan di bawah undang-undang keselamatan kebangsaan baharu dan penipuan.
Tokoh media itu memiliki akhbar Apple Daily dan majalah Next yang prodemokrasi dan kuat mengkritik dasar-dasar Beijing.
Sementara itu, Simon menerusi laman sosial Twitter berkata, beberapa pegawai berusaha mendapatkan waran untuk menggeledah rumah Jimmy dan kediaman seorang anak lelakinya.
Kebanyakan penduduk Hong Kong menganggap beliau sebagai seorang hero dan satu-satunya taikun yang sanggup mengkritik dasar Beijing. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!