Suri rumah hadapi 40 tuduhan subahat terima suapan

Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar terhadap 40 pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam kes suapan membabitkan nilai sebanyak RM1 juta, tujuh tahun lepas.
Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar terhadap 40 pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam kes suapan membabitkan nilai sebanyak RM1 juta, tujuh tahun lepas.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 40 pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam kes suapan membabitkan nilai sebanyak RM1 juta, tujuh tahun lepas.

Norlaila Puteh, 35, membuat pengakuan itu setelah semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Murtazadi Amran.

Menurut semua pertuduhan itu, Norlaila didakwa bersubahat dengan suaminya Mohd Azurine Che Bahadom, yang bekerja sebagai Ketua Jualan di Nitori (M) Sdn Bhd, menerima suapan menerusi 40 keping cek bernilai RM25,000 setiap satu, daripada Syarikat Ga Yee Furniture melalui akaun bank tertuduh.

Upah yang keseluruhannya bernilai RM1 juta itu adalah sebagai dorongan untuk memastikan dan mengekalkan syarikat Ga Yee sebagai pembekal perabot utama kepada syarikat dari Jepun itu.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 9 Oktober 2013 hingga 13 Februari 2017 di Ambank Cawangan Alor Setar, No. 1567, Wisma Landag, Jalan Kota di sini.

Norlaila didakwa mengikut Seksyen 28(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Hakim membenarkan ibu kepada seorang anak berusia dua tahun itu diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tan Sew Ping, manakala tertuduh diwakili peguam K. Paramanathan.

Artikel Berkaitan:

Pada 17 Mac lepas, Mohd Azurine, 39, telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 40 tuduhan menerima suapan bernilai RM1 juta tujuh tahun lepas.

Mohd Azurine yang bekerja sebagai nelayan sejak 2018 dikenakan ikat jamin sebanyak RM800,000 namun gagal membayar jaminan berkenaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!