Tiga syarat sebelum YouTube bayar 'gaji'

Laporan Khas Sinar Harian hari ini. Gambar kiri: Jafar
Laporan Khas Sinar Harian hari ini. Gambar kiri: Jafar
A
A
A

SHAH ALAM - Bergelar YouTuber dengan pendapatan puluhan ribu ringgit memang kedengaran indah.

Namun, tahukah anda bahawa bukan mudah untuk seseorang individu itu berjaya sebagai seorang YouTuber tanpa kandungan yang berkualiti, tanpa konsistensi dan tanpa menepati syarat ditetapkan pihak YouTube.

Pemilik saluran Brojep Share, Jafar Darma, 27, yang merupakan YouTuber sepenuh masa berkata, seseorang YouTuber hanya layak untuk menjana pendapatan selepas melepasi tiga peringkat asas yang ditetapkan untuk menjadi Program Rakan Kongsi YouTube.

Tegasnya, syarat tersebut adalah memiliki 1,000 orang pengikut atau subscriber serta mencapai 4,000 jam tontonan.

Selepas mencapai dua syarat berkenaan katanya, Google akan menilai akaun pelanggan sama ada layak untuk menjadi Program Rakan Kongsi YouTube.

“Sekiranya anda melepasi tiga syarat itu, anda akan layak untuk menjana pendapatan melalui YouTube. Google Adsense kemudiannya akan membayar anda sekiranya anda menjana pendapatan AS$100 (RM400).

“Selepas itu barulah anda boleh mencairkan wang tersebut sama ada melalui cek atau melalui bank,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, pihak Google Adsense akan membayar pengguna berdasarkan faktor demografi dan jumlah trafik yang tinggi mengikut negara di dunia.

Artikel Berkaitan:

Di Malaysia secara puratanya Jafar berkata, Google Adsense akan membayar pengguna sekitar RM3.77 hingga RM7.12 bagi jumlah 1,000 tontonan.

“Kalau 100,000 tontonan, anda boleh meraih pendapatan sekitar RM400 manakala sekiranya mendapat 1,000,000 tontonan, anda akan memperoleh sekitar RM4,000 hingga RM5,000,” katanya.

Hari ini Sinar Harian mengupas laporan bertajuk Kaya Raya Jadi YouTuber yang mendedahkan bagaimana pendapatan para YouTuber di Malaysia kini boleh mengalahkan gaji purata seorang Ketua Pegawai Eksekutif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!