TMJ mahu sektor pendidikan negeri sentiasa dijaga
JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap pihak bertanggungjawab dapat memainkan peranan dalam memastikan sektor pendidikan negeri dapat dibangunkan dengan sebaiknya.
Perkara itu termasuklah penyediaan fasiliti dan kemudahan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang layak.
"Sempena sambutan Hari Pendidikan Sedunia, saya ingin mengambil kesempatan untuk menggesa semua pihak untuk sama-sama berganding bahu dalam memastikan setiap kanak-kanak di Johor mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.
"Bermula peringkat pra sekolah hingga ke universiti termasuk menyediakan kemudahan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang layak.
"Nasihat saya adalah untuk laksanakan apa yang terbaik dan pastikan kepentingan pelajar sentiasa menjadi prinsip utama dalam setiap pendekatan yang diambil, " katanya menerusi Facebook rasminya, di sini, hari ini.
Beliau juga menegaskan yang pendidikan bukan sekadar keistimewaan tetapi merupakan hak asasi yang mana harus dipertahankan dari zaman ke zaman.
Saya percaya bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan dan kita sebagai masyarakat bertanggungjawab untuk mempertahankan hak tersebut.
"Kita juga bertanggungjawab untuk memastikan setiap kanak-kanak tanpa mengira latar belakang mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti," katanya.
Sehubungan itu, Tunku Ismail berpesan agar masyarakat mengambil langkah ke depan sekali gus tidak sesekali memperjudikan masa depan anak-anak.
Jelasnya, seiring perkara itu kebajikan para guru juga harus lebih diperhalusi sebagai tanda menghargai sumbangan mereka dalam mendidik anak bangsa.
"Anggaplah sistem pendidikan yang berkualiti sebagai satu pelaburan jangka panjang untuk membina bukan sahaja satu masyarakat berdaya saing dan berkemahiran tinggi.
"Tetapi sebagai asas untuk membangunkan satu peradaban yang unggul pada masa hadapan," katanya.
Dalam masa sama, beliau juga mahu pelajar di negeri ini untuk sentiasa meningkatkan keazaman mencapai kecemerlangan sekali gus merebut peluang yang telah disediakan.
"Gandakan usaha untuk menimba ilmu dan banyakkan membaca kerana hanya dengan pendidikan anda berupaya meningkatkan kualiti hidup keluarga ke arah lebih baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!