Tak berniat cetus kontroversi, Asri Janggut mohon maaf...

Mohd Asri (dua dari kiri) bersama Nadzim (tiga dari kiri) ketika Facebook Live PPIM bertajuk bertajuk Penguat Kuasa Pilih Bulu, Tohmahan atau Fitnah? hari ini.
Mohd Asri (dua dari kiri) bersama Nadzim (tiga dari kiri) ketika Facebook Live PPIM bertajuk bertajuk Penguat Kuasa Pilih Bulu, Tohmahan atau Fitnah? hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] "Saya minta maaf kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan peniaga lain yang terkesan selepas beberapa pendedahan yang saya buat."

Demikian luahan pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42, yang mengakui tidak berniat mencetuskan kontroversi sehingga tular di media sosial.

Menurut Mohd Asri, apa yang dilakukannya itu hanya bertujuan untuk membuka mata semua pihak mengenai aktiviti perjudian yang berlaku di kawasan Jalan Besar, Bandar Baru Sungai Buloh yang tidak diambil perhatian walaupun banyak laporan polis sudah dibuat.

"Sebelum ini saya membuat laporan terus kepada bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman malah saya sudah menyerahkan video yang menunjukkan kedai mesin judi beroperasi sehingga jam 3 pagi.

"Saya nampak premis itu kemudiannya ditutup dua hari sebelum ia beroperasi semula. Saya kemudian adukan lagi isu sama kepada bahagian Integriti Bukit Aman pula tetapi tiada tindakan, sebaliknya salah seorang pekerja saya didatangi oleh seorang wakil premis judi itu yang bertanyakan kenapa kami kacau perniagaan mereka," katanya menerusi Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bertajuk Penguat Kuasa Pilih Bulu, Tohmahan atau Fitnah? yang disiarkan secara langsung hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Sepatutnya polis ucap terima kasih kepada saya'

'Kasihan nasib Asri Janggut dicari polis'

Polis cari pemilik akaun Facebook Asri Janggut

Artikel Berkaitan:

AMK tawar khidmat guaman kepada Asri Janggut

Terdahulu, menerusi dua video yang dibuat secara langsung oleh pentadbir akaun Facebook Hot Burger Malaysia mendedahkan berkaitan aktiviti perjudian sekitar Jalan Besar, Bandar Baru Sungai Buloh serta aktiviti perniagaan yang diusahakan warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di situ dikatakan 'kebal' kerana tidak pernah dikenakan sebarang tindakan.

Mohd Asri berkata, tidak cukup dengan itu, pemilik premis judi itu dilihat semakin melampau apabila menambah dua lagi premis baharu di sebuah kedai lot kosong dan satu lagi bersebelahan kedainya.

"Tindakan mereka ini sangat berani seolah-olah mahu mencabar saya. Saya lihat ia juga sebagai ancaman kerana mereka seperti cuba katakan siapa saya untuk menghalang mereka beroperasi.

"Keadaan itu sangat mengecewakan ditambah lagi selepas saya membuat laporan polis tetapi tiada tindakan. Kemudian, apabila pihak MBSA datang ke kedai, mereka mengarahkan kami menutup operasi kedai.

"Saya mengaku terlewat menutup kedai tetapi apabila dimaklumkan tentang kedai judi yang beroperasi lebih masa di lorong belakang, reaksi diberikan biasa saja," katanya.

Tambahnya, keadaan itu menyebabkan dia berasa tidak puas hati kenapa hanya gerainya dikenakan tindakan tetapi pemilik operasi judi boleh terlepas, begitu juga dengan peniaga Aceh yang menjual rokok seludup.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menerusi program sama memaklumkan isu dibangkitkan Mohd Asri berkaitan aktiviti perjudian serta sikap pilih bulu pihak berkuasa menjadi bualan hangat sehingga tular kerana ia merupakan isu yang benar-benar berlaku dalam masyarakat tetapi kurang diberi perhatian.

"Apabila isu ini timbul, rakyat akan bersuara kerana mereka juga terdedah dengan ancaman.

"Di peringkat PPIM, saya menyeru semua pihak dapat menggerakkan perubahan dengan melaporkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti atau operasi premis judi kepada kami di talian 019-359100. PPIM akan cuba bawa perkara ini ke atas untuk diambil tindakan," katanya.

Menurutnya, jadikan pemberian maklumat sebagai satu tanggungjawab dengan harapan maklumat ini dapat mengubah sikap pihak berkuasa atau penguat kuasa untuk segera mengambil tindakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!