Pemuda UMNO tak restu pemimpin parti kerajaan perguna kedudukan
KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO tidak merestui perbuatan pemimpin mengguna pakai kedudukan sebagai menteri atau timbalan menteri untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang negara.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia susulan isu panas yang dibangkitkan ketika ini kononnya menjadi suatu perkara biasa bagi pemimpin parti kerajaan mengeluarkan surat sokongan demi kepentingan ahli parti.
Beliau berkata, rakaman video tular memaparkan kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal daripada Parti Pribumi Melayu Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bersedia mengeluarkan surat sokongan untuk kepentingan ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
"Kita tidak sesekali akan merestui sebarang bentuk tindakan ataupun usaha yang menyalahi prinsip undang-undang dan juga moral.
"Dalam konteks ini, walaupun ada suara-suara sumbang mengatakan ini budaya UMNO lama, saya ingin tegaskan bahawa budaya ini sudah lama dibersihkan selepas 22 bulan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah tidak lagi menjadi kerajaan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bulanan sayap UMNO itu di Menara Dato' Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, ia merupakan pendirian tegas Pemuda UMNO dalam menentang sebarang bentuk salah laku.
Dalam rakaman video yang disebarkan di media sosial sejak semalam, Wan Ahmad Fayhsal memberi jaminan menggunakan pengaruhnya dalam kerajaan untuk membantu ahli Armada sekiranya menang bertanding jawatan ketua sayap parti itu.
Rakaman berdurasi 23 saat itu menunjukkan beliau berdiri di hadapan ahli Armada di meja makan dan berjanji mengeluarkan surat sokongan bagi membolehkan ahlinya berurusan terus dengan kerajaan.
Wan Ahmad Fayhsal dipercayai berkata demikian ketika berkempen di Pahang baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!