Jangan guna kedudukan dalam kerajaan dapatkan undi

Muzzammil Ismail
Muzzammil Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Calon pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa tidak menggunakan kedudukan dalam kerajaan untuk mendapatkan undi, kata Exco Armada Bersatu, Muzzammil Ismail.

Menurut beliau, ini termasuk menjanjikan bantuan kepada penyokong.

"Calon sebaliknya perlu mempromosikan idea dan rancangan mereka untuk mengukuhkan parti.

"Kempen perlu dilakukan secara beretika dan calon perlu berhati-hati dengan kenyataan mereka. Kita patut berkempen secara beradab,” katanya seperti dilaporkan portal berita FMT hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai klip video calon Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad yang mendakwa beliau boleh mengeluarkan surat sokongan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Semalam klip video Wan Ahmad Fayshal yang juga calon Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Nasional mengakui kedudukannya sebagai Timbalan Menteri memudahkan urusan untuk membantu ahli Armada melalui exco-exco yang dilantik kelak.

Video yang menjadi tular itu dipercayai dirakam di sebuah restoran ketika beliau berkempen bersama Armada Pahang bagi pemilihan calon Ketua Armada.

Jawatan Ketua Armada Bersatu kosong apabila keahlian Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditamatkan kerana duduk di blok pembangkang pada Sidang Dewan Rakyat, 18 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muzzammil berkata, calon perlu berdiri di atas kaki sendiri.

“Kita juga patut mengelak menggunakan nama Presiden parti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!