Periksa kenderaan secara percuma
SHAH ALAM - Menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina, Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) menawarkan pemeriksaan kenderaan sukarela secara percuma bagi pemilik kenderaan persendirian hingga 4 Februari ini.
Ia berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di semua cawangan Puspakom di seluruh negara kecuali Shah Alam, Lahad Datu dan Pasir Gudang.
Unit Pemeriksaan Bergerak Puspakom turut menawarkan pemeriksaan percuma di empat lokasi terpilih hingga 2 Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail berkata, program menerusi Kempen ‘#drivesafenoregrets’ merupakan tanggungjawab korporat pihaknya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan kenderaan terutama ketika musim perayaan.
Pemeriksaan kenderaan merangkumi ujian pengeluaran asap, suspensi, gelincir sisi, bahagian atas dan bawah kenderaan, brek dan ketelusan cahaya cermin.
Laporan pemeriksaan akan diserahkan kepada pelanggan sejurus selesai pemeriksaan dan boleh dijadikan sebagai rujukan bagi memudahkan pelanggan membuat penyelenggaraan dan pembaikan selanjutnya terhadap kenderaan mereka.
“Kami gembira kerana ribuan pemilik kenderaan persendirian ambil peluang ini setiap kali pemeriksaan percuma ditawar. Statistik tunjukkan sebanyak 4,270 buah kenderaan menyertai kempen pemeriksaan percuma sempena musim perayaan tahun lalu.
“Ternyata usaha Puspakom berkesan dalam memupuk kesedaran keselamatan kenderaan dengan meningkatnya jumlah kenderaan yang diperiksa setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata, semua pemandu kenderaan perlu memainkan peranan penting bagi memastikan keselamatan kenderaan terjamin di jalan raya.
Pihaknya percaya kadar kemalangan dapat dikurangkan sekiranya setiap pemandu mengambil berat terhadap keselamatan kenderaan masing-masing.
“Untuk maklumat lanjut mengenai kempen pemeriksaan percuma pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6927 atau layari laman sesawang www.puspakom.com.my atau Facebook rasmi Puspakom Maklumat.
“Puspakom juga akan lanjutkan waktu operasi di cawangan Petaling Jaya Ahad ini dari jam 9 pagi sehingga 5 petang khas untuk Persatuan Orang-Orang Cacat Anggota Malaysia (Pocam), Dual Blessing Bhd dan Persatuan All Women’s Action Society (Awam).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!