Warga emas maut angkara pemandu khayal dadah
PARIT - Seorang penganggur ditahan polis kerana disyaki memandu dalam pengaruh dadah sehingga terbabit kemalangan yang mengorbankan nyawa seorang penunggang motosikal di Jalan Parit, berhampiran Kampung Serapoh di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu, mangsa, Razali@Nazaei Yaacob, 82, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, kemalangan itu melibatkan mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak dan suspek berusia 46 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Kelisa.
Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan itu berpunca akibat pertembungan selepas kereta tersebut memasuki laluan mangsa ketika melalui satu selekoh.
“Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Simpang 3 menuju ke pasar pagi Parit.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu suspek telah memasuki laluan bertentangan sebaik melalui selekoh lalu melanggar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Barudin berkata, mangsa yang disahkan meninggal dunia telah dibawa ke Hospital Changkat Melintang dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan ‘traumatic brain injury’.
Menurutnya, pemeriksaan pada pemandu menemui dua peket plastik yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.
“Pemeriksaan pada tubuh badan menjumpai plastik dadah terbabit dan peralatan menghisap di dalam kotak rokok yang dipegang suspek.
“Lelaki tersebut ditahan dan ujian urin mendapati suspek positif dadah yang sama. Suspek ditahan dan akan direman di Mahkamah Majistret Parit esok,” katanya.
Barudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!