Lebuh raya air mampu atasi krisis air pada masa hadapan

Gambar kecil: Azman Mat Jusoh
Gambar kecil: Azman Mat Jusoh
A
A
A

MENTERI Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyimpan cita-cita besar untuk mewujudkan lebuh raya air pada masa akan datang. Ia bagi memastikan rizab air di Malaysia mencukupi dan mampu menampung keperluan rakyat.

Berkongsi cita-cita beliau itu dengan SINAR AHAD baru-baru ini, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, pelaksanaan lebuh raya air dari Perlis sehingga ke Johor itu dijangka menelan kos berbilion ringgit.

Adakah idea untuk mewujudkan lebuh raya air itu mampu dilaksanakan? Ikuti temu bual wartawan, RAI-HAM MOHD SANUSI bersama Pengarah Pusat Kajian Sumber Air dan Perubahan Iklim Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim), Ir Azman Mat Jusoh.

Pada pandangan tuan, adakah idea untuk mewujudkan lebuh raya air mampu dilaksanakan?

AZMAN: Idea lebuh raya air adalah satu konsep yang bagus sebagaimana negara luar yang sudah ada konsep pemindahan air.

Ia juga menyamai konsep yang telah dilakukan dalam skala lebih kecil sebelum ini seperti Pahang yang menyalurkan bekalan airnya kepada Selangor.

Namun, mekanisme sistem lebuh raya air perlu kajian lebih terperinci kerana jika kita lihat di mana-mana negara luar, masih belum ada konsep lebuh raya air secara spesifik, yang ada cuma dalam bentuk lembangan sungai.

Apakah halangan untuk idea tersebut dilaksanakan terutama dari segi kos dan kuasa negeri?

Artikel Berkaitan:

AZMAN: Saya berpendapat perlu ada persetujuan antara negeri tentang pelaksanaan idea tersebut. Perlu ada persetujuan dari segi amaun yang mampu dikongsi setiap negeri untuk merealisasikan projek berkenaan kerana ia dijangka menelan kos yang agak tinggi.

Apakah manfaat kepada rakyat jika idea lebuh raya air berjaya direalisasikan?

AZMAN: Banyak manfaat akan diperoleh rakyat. Pertama, kita boleh mengelak berlakunya krisis bekalan sumber air di Malaysia pada masa akan datang.

Kedua, dengan adanya sistem lebuh raya air, apabila berlaku lebihan air yang banyak di sesebuah negeri atau tempat, air itu boleh dilencongkan dan secara tidak langsung ia juga dapat mengelak berlakunya masalah banjir.

Ketiga, usaha tersebut turut memberi manfaat besar kepada negeri dan tempat yang berdepan krisis air, contohnya, Melaka dan Kuala Lumpur. Apa yang boleh kita lihat di lokasi-lokasi tersebut terutama di Kuala Lumpur, kemudahan infrastruktur memang ke depan, cuma perlu diubah suai agar retrofit (sesuai) dengan lebuh raya air yang akan dibina.

Sekiranya idea itu tidak dilakukan, berdasarkan kajian yang dilakukan Nahrim, apakah jangkaan terhadap kemampuan negara untuk terus menyediakan bekalan air bersih pada masa akan datang?

AZMAN: Nahrim telah melakukan unjuran perubahan iklim sehingga tahun 2100 dan berdasarkan hasil kajian serta unjuran tersebut, dijangka Malaysia mengalami krisis air teruk bermula sekitar 2030 dan 2035.

Krisis itu semakin parah pada waktu itu kerana dijangka berlaku pertembungan cuaca kemarau yang lebih panjang daripada biasa dan fenomena El Nino.

Berdasarkan trend perubahan iklim, dijangka berlaku tempoh kemarau yang lebih panjang di beberapa lokasi yang dikenal pasti dan fenomena El Nino juga turut berlaku berdasarkan kitarannya. Apabila kedua-dua fenomena ini berlaku serentak, ia akan jadi masalah yang besar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!