Budaya surat sokongan perlu dihapuskan
SEORANG rakan meluahkan rasa marah kepada Merak Jalanan. Katanya, Merak Jalanan kena tolong sedarkan masyarakat mengenai budaya ‘surat sokongan’.
Katanya, dia pantang betul dengan budaya surat sokongan ini. Kalau boleh, dia mahu budaya itu dihapuskan dan dihentikan terus.
Merak Jalanan agak kehairanan sebab tak tahu hujung pangkal ceritanya.
Kata rakan itu, baru-baru ini dia ada satu sesi temu duga untuk satu jawatan yang agak besar di syarikatnya.
Memandangkan dia orang lama dalam syarikat tersebut, dia turut terlibat dalam temu duga tersebut.
Seorang calon sudah dikenal pasti. Dia sudah lama bekerja dan sangat baik rekod serta prestasi kerjanya.
Tiba-tiba dalam sesi temu duga itu, katanya, terselit satu fail calon lain yang perlu diutamakan.
Calon luar itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pemilik syarikat tersebut berdasarkan nota: 'Harap beri keutamaan kepada calon ini'.
Tanda tangan CEO bersama satu surat sokongan daripada seorang ahli politik yang berpengaruh dikepilkan bersama fail itu.
Katanya, Merak Jalanan tentu sudah boleh menduga apa yang berlaku kepada calon emas tersebut.
Selepas diterima bekerja, ternyata calon yang ada kabel itu langsung tidak boleh buat kerja. Prestasi kerja di bawah ekspektasi yang diharapkan. Hancur!
Tiba-tiba Merak Jalanan teringat kisah seorang pemimpin sebuah parti politik menggunakan satu surat sokongan bagi mendapatkan 80 tapak bazar Ramadan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dan menyewakannya semula sehingga boleh mengaut keuntungan sebanyak RM400,000!
Siapa cakap surat sokongan ini tiada kesan? Oleh itu Merak Jalanan harap sesiapa yang dapat surat sokongan ini supaya jangan layan atau laporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Siasat sekali ucapan timbalan menteri yang viral itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!