Cedera parah ditetak bertubi-tubi

Mangsa terbaring selepas di tetak bertubi-tubi di rumahnya di Wakaf Mek Zainab semalam.
Mangsa terbaring selepas di tetak bertubi-tubi di rumahnya di Wakaf Mek Zainab semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki cedera parah akibat ditetak bertubi-tubi di seluruh badan dengan parang oleh lelaki yang dipercayai kurang siuman di sebuah rumah di Wakaf Mek Zainab di sini petang semalam.

Kejadian berlaku pada jam 4.30 petang ketika mangsa yang berusia 45 tahun berkenaan berbual bersama empat sepupu di ruang tamu.

Anak saudara mangsa, Mohd Amir Rasdi, 19, berkata, ketika itu dia sedang mengecat sangkar burung di depan rumah bapa saudaranya yang dikenali sebagai Khairi tersebut.

“Secara tiba-tiba datang lelaki berseluar pendek sambil memegang parang lalu meluru ke arah bapa saudara saya dan menetaknya bertubi-tubi di bahagian dapur rumah.

“Kami cuba bantu dengan melemparkan segala barang ke arahnya tetapi dia tidak berhenti malah terus menetak mangsa dengan parang berkali-kali pada seluruh badan,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, mereka sekali lagi cuba membantu dengan mendekati suspek yang sedang ‘naik hantu’ itu tetapi dilibas pula dengan parang, nasib baik sempat mengelak lantas lari untuk menyelamatkan diri sendiri.

“Selepas kira-kira 10 minit, lelaki itu keluar dalam keadaan berlumuran darah mangsa pada badannya dan pada parang yang dipegang.

“Kami mengejarnya sehingga ke kawasan lampu isyarat tetapi tidak berjaya sehingga dia berlari masuk ke hutan dan tidak ditemui,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penduduk kampung kemudian menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Difahamkan sebelum kejadian suspek kelihatan berlegar-legar di kawasan sekitar sambil mengasah parang dan membawa sebuah raga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Insiden mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dengan menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!