Pengerusi SPR hairan tempoh undi pendek jadi isu
CAMERON HIGHLANDS - Tempoh mengundi yang pendek di sesetengah pusat mengundi tidak sepatutnya dijadikan isu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, ini kerana tempoh mengundi yang sama telah ditetapkan pada PRU14 lalu.
"Pada PRU14, semua pusat berkenaan tutup awal kerana jarak antara pusat mengundi itu dengan pusat pengumpulan undi jauh. Jika pada PRU14 perkara ini tidak menjadi isu, saya hairan kenapa ia jadi isu pada PRK Cameron Highlands.
"Malah pada PRU14, walaupun ada pusat undi tutup awal, peratusan keluar mengundi mencapai antara 83 hingga 85 peratus. Perkara ini tak jadi isu langsung," katanya kepada media selepas melawat pusat semakan peti undi di Dewan SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, hari ini.
Katanya lagi, SPR juga telah membuat penambahbaikan di beberapa pusat mengundi berkenaan bagi memudahkan proses pengundian.
"Walaupun pusat mengundi itu ditutup awal, kami telah menambah saluran untuk mempercepatkan dan melancarkan lagi proses undian. Ia bagi memastikan pengundi tidak menunggu lama.
"Malah di satu tempat mengundi berkenaan, kami tambah lagi 30 minit daripada PRU14. Jadi ini satu proses pembaikan yang amat ketara kalau dibandingkan dengan PRU14," katanya.
Dalam pada itu, katanya, SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus esok.
Manakala, keputusan penuh dijangka diperoleh pada atau sebelum jam 10 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!