Pengambilan graduan UEC ke IPG penuhi keperluan di SJKC
KUALA LUMPUR - Pengambilan graduan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) bertujuan memenuhi keperluan pengkhususan bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, program itu dilaksanakan sejak tahun 2011 lagi dan pengambilan turut diteruskan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
"Program yang disebut Yang Berhormat Simpang Renggam (Dr Maszlee Malik) itu sudah bermula sejak tahun 2011 dan pada waktu Yang Berhormat menjadi menteri (Pendidikan) juga, program terbabit terus dilaksanakan.
"Jadi, sebenarnya perkara ini memang dalam pengetahuan Yang Berhormat. Hakikatnya dasar itu berlaku, pengambilan pelajar kelulusan UEC untuk tujuan kemasukan ke IPG bagi mata pelajaran Bahasa Cina untuk SJKC," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) yang bertanyakan sama ada kerajaan mengiktiraf lulusan UEC berikutan terdapat pengambilan graduan sijil berkenaan untuk memasuki IPG.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!