Ahmad Faizal sifatkan tindakan ahli keluar Bersatu pelik
IPOH - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan tindakan dalam kalangan ahli meninggalkan parti itu dengan tujuan meneruskan perjuangan menentang kleptokrasi dan rasuah sebagai janggal.
Menurutnya, tujuan utama parti itu ditubuhkan adalah mengambil bahagian dalam proses pilihan raya dan menubuhkan kerajaan.
“Kini, Presiden Bersatu adalah pemimpin utama kerajaan. Ini adalah masanya untuk kita memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat melalui kuasa pentadbiran kerajaan.
“Justeru, agak pelik bagi mereka yang meninggalkan parti kononnya di atas nama meneruskan perjuangan menentang kleptokrasi dan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Faizal menegaskan Bersatu masih utuh dan tidak terkesan dengan sebarang cubaan untuk menggugat kestabilan parti.
“Majoriti ahli Bersatu masih berdiri teguh dan yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tetap berpegang kepada prinsip-prinsip asal penubuhan parti ini.
“Bersatu juga akan terus melipat-gandakan usaha menarik ahli-ahli baharu di seluruh negara. Kami mendapati, rakyat semakin tertarik dengan gaya kepimpinan Muhyiddin dan ingin turut serta dalam perjuangan beliau,” katanya.
Jelasnya, parti itu juga dalam proses pemilihan dan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkuatkan parti.
“Saya ingin menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Muhyiddin untuk terus menerajui Bersatu dan meneruskan agenda parti di atas semangat bersatu, beramanah dan bermaruah.
“Semua ahli perlu memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin untuk terus menumpukan usaha membela nasib rakyat dan memulihkan ekonomi negara tatkala kita masih berperang melawan pandemik Covid-19,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!