Kerajaan Terengganu sembah tahniah kepada Sultan Pahang

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri merafak sembah tahniah kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah atas pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan ucapan itu melalui laman facebook rasmi beliau hari ini.

“Patik mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Negeri Terengganu mendoakan Ke Bawah Duli Tuanku agar sentiasa dalam rahmat dan perlindungan ALLAH SWT hendaknya serta terus teguh memayungi negara ini dengan panduan Islam,” katanya.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi tempoh 5 tahun berkuatkuasa 31 Januari 2019.

Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara semalam.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) yang dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin itu turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan berlangsung pada 31 Jan ini di Istana Negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!