Program ziarah cakna KPM perluas konsep sekolah penyanyang
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperluaskan konsep sekolah penyayang dan memperkukuhkan hubungan antara sekolah dengan ibu bapa/penjaga melalui Program Ziarah Cakna yang akan dilaksanakan di seluruh negara bermula Ahad ini.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata di bawah program yang akan dilaksanakan sepanjang tahun itu, pihak sekolah akan menziarah rumah murid untuk bertanya khabar dan berkongsi perkembangan murid serta memahami latar belakang keluarga mereka.
"Guru-guru lebih mendalami tingkah laku, merasai denyut kehidupan murid di rumah dan lain-lain keperluan atau bantuan kepada murid.
"Maklumat seperti ini amat penting dihayati dalam membina asas bagi meningkatkan pembangunan diri, sahsiah dan kecemerlangan murid," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Berbanding amalan ziarah ke rumah murid yang biasa dilaksanakan sebelum ini, Amin berkata di bawah program itu, guru-guru juga akan melawat rumah pelajar cemerlang bagi memberi penghormatan kepada ibu bapa mereka, selain memahami latar belakang murid.
"Program ini asasnya untuk merapatkan hubungan dan memahami latar belakang yang menyebabkan pelajar itu bermasalah dan apa yang menyebabkan pelajar itu boleh cemerlang," katanya.
Ditanya sama ada KPM akan meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada sekolah, Amin berkata walaupun program itu adalah program teras kementerian, namun terpulang kepada pihak sekolah untuk memilih dan melawat seberapa banyak rumah murid yang perlu.
"Program Ziarah Cakna ini diharap dapat memberi manfaat positif kepada perkembangan menyeluruh murid dan seharusnya dapat dijadikan amalan, teladan serta dilaksanakan mengikut kreativiti dan kesesuaian pihak sekolah secara berterusan sepanjang tahun serta menjadi budaya di sekolah," katanya.
Amin berkata pelancaran Program Ziarah Cakna peringkat nasional akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik di Kluang, Johor pada 28 Jan ini.
Katanya program itu akan turut digerakkan secara rasmi di enam lokasi lain iaitu di Langkawi, Kedah; Pasir Mas, Kelantan; dan Kulai, Johor pada 27 Januari dan Kota Kinabalu, Sabah; Kuching, Sarawak dan Hulu Langat, Selangor pada 28 Januari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!