Pembantu rumah dijel lima tahun cederakan anak majikan

Eli Limayati, 21, (kiri) dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dan bon berkelakuan baik selama lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini. Foto: bernama
Eli Limayati, 21, (kiri) dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dan bon berkelakuan baik selama lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini. Foto: bernama
A
A
A

KLANG - Seorang pembantu rumah warga Indonesia dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan anak majikannya berumur 12 bulan pada 29 Julai lepas.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain turut memerintahkan Eli Limayati, 21, menjalani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM40,000 selain melakukan aktiviti khidmat masyarakat selama 180 jam secara agregat dalam tempoh enam bulan.

Mengikut pertuduhan, Eli Limayati didakwa mendedahkan bayi itu sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal iaitu melecur akibat air panas di Taman Klang Perdana, Kapar di sini, kira-kira jam 6.30 petang.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh bagi memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Eli Limayati kemudiannya merayu kepada mahkamah supaya meringankan hukuman ke atasnya kerana dia perlu menanggung seorang anak dan ibu bapa yang sakit di Indonesia.

Pada 29 Julai lepas, Bernama melaporkan polis menahan seorang pembantu rumah kerana disyaki mendera seorang bayi perempuan berusia setahun.

Siasatan mendapati mangsa melecur di belakang badan, punggung dan paha akibat terkena air panas disyaki ketika sedang dimandikan oleh pembantu rumah berkenaan di bilik air. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!