Lima individu sertai 'Blackout 505' kekal bebas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima individu kekal bebas daripada tuduhan menyertai perhimpunan di tempat larangan iaitu dalam perkarangan Masjid Ar-Rahman Universiti Malaya, enam tahun lalu, selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadap pembebasan mereka.

Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne, memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan dan Hakim Collin Lawrence Sequerah membatalkan rayuan itu.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan hakim Mahkamah Sesyen Datuk Zainal Abidin Kamarudin pada 13 April 2018 yang melepas dan membebaskan Muhammad Safwan Anang, 30; Ekhsan Bukharee Badarul Hisham, 28; Adam Adly Abd Halim, 31; Mohamed Bukhari Mohamed Sufian, 29 dan Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, 39, daripada pertuduhan itu.

Zainal Abidin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kesemua Orang Kena Saman (OKS) di akhir kes pembelaan.

Kesemua OKS yang diwakili peguam Zaid Abd Malek hadir di mahkamah.

Mereka didakwa menyertai perhimpunan di tempat larangan itu antara 12 tengah hari dan 1.15 tengah hari, pada 22 Jun 2013 mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!