MBSA akan beri kerjasama kepada SPRM
SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan tiga anggotanya oleh agensi berkenaan.
Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA menerusi satu kenyataan turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan melindungi kakitangan yang tidak berintergriti dan menyalah gunakan kuasa.
"MBSA juga menasihati orang ramai supaya memberi maklumat berkaitan dengan salah laku kakitangan kami dengan melaporkan menerusi emel kepada aduanintegriti@mbsa.gov.my atau melalui talian 03-55105133 sambungan 1671," katanya.
Terdahulu, SPRM menahan tiga pegawai penguat kuasa MBSA hari ini selepas dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh, Selangor.
Menurut sumber, dalam operasi yang dijalankan bermula jam 9 pagi itu, tiga pegawai penguat kuasa berusia lingkungan 41 hingga 49 tahun ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika dipanggil memberi keterangan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes judi Sungai Buloh: SPRM tahan pegawai MBSA
Siasatan mendapati dua penguat kuasa terbabit bertugas di cawangan Sungai Buloh dan seorang lagi di Shah Alam.
Sebelum ini, dua video dimuat naik oleh pentadbir akaun Facebook Hot Burger Malaysia mendedahkan berkaitan aktiviti perjudian sekitar Jalan Besar, Bandar Baru Sungai Buloh serta perniagaan yang diusahakan warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup dikatakan 'kebal' kerana tidak pernah dikenakan sebarang tindakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!