Guna logo BN: Pas tidak mahu terburu-buru

Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Pas tidak mahu terburu-buru sebaliknya akan membuat penelitian terlebih dahulu berhubung saranan menggunakan logo Barisan Nasional (BN).

Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad mengulas mengenai cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mahu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggunakan logo BN sebagai lambang rasmi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum (PRU15) akan datang.

Beliau berkata, tiada perbincangan berhubung perkara itu dilakukan pimpinan tertinggi parti.

"Belum bincang lagi. Kami juga perlu berbincang dengan pimpinan Pas Sabah (bagi PRN Sabah) selain mendapatkan pandangan akar umbi. Dalam hal ini ia tidak boleh terburu-buru," katanya.

Menurut beliau, buat masa ini, soal persefahaman lebih penting berbanding isu berkenaan.

"Itu pandangan UMNO dan mereka lebih tahu pengundi-pengundi mereka.

"Pada saya, satu logo bukan keutamaan walaupun dapat membantu. Jika logo lain sekalipun, kalau ada persefahaman tidak ada masalah," katanya.

Semalam, Asyraf Wajdi mencadangkan agar Pas dan Bersatu menggunakan logo BN sebagai lambang rasmi ketika PRN Sabah dan PRU15 akan datang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, cadangan itu perlu dipertimbangkan kepimpinan kanan parti yang terlibat bagi menunjukkan kesepakatan dan memastikan pertandingan satu lawan satu bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!