Inix, Lgylan bekerjasama dalam industri sarung tangan getah
SEREMBAN – Inix Technology Berhad meneroka industri sarung tangan getah dengan menjalin kerjasama korporat dengan Lgylan Properties Sdn Bhd.
Majlis menandatangani perjanjian dilakukan antara wakil Inix, Datuk Tan Choon Hwa dan Lee Han Keat dengan Pengarah Urusan Lgylan, Datuk Lui Pak Leung Cha dalam satu majlis ringkas di Sendayan hari ini.
Memilih kawasan Perindustrian Sendayan sebagai lokasi kilang, operasinya dijangka bermula antara Oktober sehingga November ini dengan nilai pelaburan bagi dua buah kilang berjumlah RM300 juta.
Pak Leung Cha berkata, syarikatnya mempunyai pengalaman dalam industri pembuatan sarung tangan getah sejak tahun 2008 dengan membina kilang, memasang mesin, menghasilkan bungkusan serta mengeksport sarung tangan getah perubatan.
Menurutnya, antara pelanggan syarikat itu termasuklah Top Glove yang merupakan 10 pengeluar sarung tangan getah perubatan terbesar dunia.
“Tapi ini kali pertama Lgylan menjalin kerjasama dengan Inix yang akan melabur RM22.75 juta kira-kira 65 peratus daripada ikuiti syarikat manakala Lyglan akan melabur RM12.25 juta iaitu kira-kira 35 peratus.
“Kilang ini mampu mengeluarkan sebanyak 840,000 sarung tangan dalam tempoh sehari yang mana kita mendapat permintaan di seluruh negara terutama di Eropah,” katanya.
Beliau berkata, permintaan sarung tangan sekarang amat tinggi di seluruh dunia dan ia semestinya memberi nilai pelaburan yang baik.
Sementara itu, katanya, pemilihan kawasan Sendayan sebagai operasi kilang kerana lokasinya yang strategik iaitu berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan juga Lembah Klang.
Inix sebelum ini memfokuskan perniagaan teknologi yang mempunyai beberapa anak syarikat yang terbabit dalam pembekalan dan pembangunan perkakasan dan perisian komputer termasuk portal E-dagang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!