Seorang lagi anggota penguat kuasa MBSA ditahan SPRM
KUALA LUMPUR - Seorang lagi anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan, kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan tanpa lesen, di Sungai Buloh, dekat sini.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini, seramai empat individu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, suspek keempat itu merupakan anggota penguatkuasa MBSA dari Cawangan Sungai Buloh.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes Sungai Buloh: SPRM jangka ada tangkapan lagi
Beliau berkata, suspek berusia 39 tahun ini ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 5 petang tadi, selepas hadir memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
“Suspek menerima rasuah antara RM300 hingga RM3,500 sebulan yang dikutip untuk sebuah premis perniagaan di Sungai Buloh, kemudian suspek akan membahagikan wang kutipan itu kepada tiga lagi rakan suspek yang ditahan sebelum ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes judi Sungai Buloh: SPRM tahan pegawai MBSA
Ahmad Khusairi berkata, suspek akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi esok.
Terdahulu, Bernama hari ini melaporkan SPRM menahan tiga pegawai penguat kuasa MBSA untuk kes yang sama.
Baru-baru, tular dua klip video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi, serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.
Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!