Mati lemas akibat sawan
KULIM- Seorang lelaki mati lemas selepas terjatuh ke dalam sungai dipercayai akibat sawan, ketika memancing di Sungai Karangan dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Seorang saksi, Pariven Renggasamy, 24, memberitahu, ketika melalui lokasi kejadian, mangsa disangka sedang mandi namun selepas beberapa ketika, dia hilang dari pandangan.
Menurutnya, dia seringkali melihat mangsa memancing di kawasan itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa, Abdul Hadi Ghazali, 26, dilaporkan tergelincir semasa memancing dipercayai akibat sawan.
Katanya, pasukan Bomba dan Penyelamat Kulim Hitech menerima panggilan pada jam 3.34 petang dan bergegas ke lokasi kejadian bersama 14 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dibantu pasukan bomba sukarela dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Menurutnya, kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa dijalankan menggunakan teknik surface searching dan dijumpai oleh anggota PPDA di lokasi dia didakwa terjatuh pada jam 6.55 petang tadi.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 7.16 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!