Wanita miskin berdiri 7 jam di tepi lubang saluran air

Gambar yang tular di media sosial menunjukkan Kanta Murti berdiri di atas jalan raya yang menempatkan sebuah lubang saluran air ketika banjir kilat melanda sebatang jalan raya di Mumbai baru-baru ini. - Foto YouTube.
Gambar yang tular di media sosial menunjukkan Kanta Murti berdiri di atas jalan raya yang menempatkan sebuah lubang saluran air ketika banjir kilat melanda sebatang jalan raya di Mumbai baru-baru ini. - Foto YouTube.
A
A
A

MUMBAI - Walaupun miskin, seorang wanita yang berusia 50 tahun sanggup berdiri selama berjam-jam di tepi sebuah lubang saluran di sebatang jalan raya di Mumbai baru-baru ini.

Wanita itu, Kanta Murti yang menjual bunga bertindak sedemikian bertujuan bagi mengelakkan motosikal dan kenderaan terlibat dalam kemalangan jalan raya kerana melanggar lubang tersebut.

Ini adalah kerana ketika hujan lebat, kawasan di Jalan Raya Tulsi Pipe di sini dinaiki air dan menghampiri ke paras berbahaya.

Murti kemudian terpaksa membuka penutup sebuah lubang saluran di jalan raya tersebut bagi mengalirkan air sekali gus mengelakkan ia mencecah ke paras yang lebih tinggi.

Menurut laporan portal berita OpIndia pada 10 Ogos lalu, walaupun semua wang simpanan dan khemahnya dihanyutkan air akibat banjir kilat, dia sanggup berdiri di tepi lubang tersebut selama tujuh jam.

Dia kemudian mengarahkan penunggang motosikal dan pengguna kenderaan yang melalui jalan raya tersebut supaya mengelak lubang itu.

Perbuatan Murti itu kemudian menjadi tular di media sosial.

Ketika bercakap kepada media, Murti berkata: "Saya membuka lubang itu untuk mengurangkan air dan berdiri di sana untuk memberi amaran kepada pengguna kenderaan. Kakitangan BMC (Perbadanan Perbandaran Brihanmumbai) datang kemudian dan memarahi saya (tindakannya itu)."

Artikel Berkaitan:

Orang ramai menggelarkannya sebagai seorang wirawati dan mengucapkan terima kasih kerana bertimbang rasa dengan situasi ketika itu.

Murti merupakan seorang ibu dan menjual bunga serta tinggal di lorong tepi jalan raya berhampiran kawasan tersebut.

Jalan raya tersebut dinaiki air berikutan hujan lebat pada waktu malam menyebabkan ia mencecah ke paras berbahaya iaitu lebih 0.9 meter.

Namun, Murti yang merupakan ibu kepada lapan orang anak bertindak cepat dengan membuka lubang saluran tersebut bagi mengalirkan air.

Lima daripada lapan orang anaknya sudah berkahwin tetapi dia satu-satunya pencari rezeki keluarganya.

Ini adalah kerana suaminya lumpuh dan tidak boleh bekerja.

"Saya menjual bunga kerana hendak menampung hidup dan pendidikan tiga orang anak," katanya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!