Inisiatif SIC cungkil bakat pelapis

Azhan Shafriman
Azhan Shafriman
A
A
A

KEJUARAN SIC MiniGP yang julung-julung kali diadakan tahun ini bakal menjadi medan terbaik bagi melahirkan lebih ramai pelumba muda berpotensi negara untuk diketengahkan ke peringkat tertinggi suatu hari nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, seramai 21 pelumba melibatkan usia lapan hingga 13 tahun telah dipilih selepas menjalani sesi pemilihan pada 11 hingga 12 Disember tahun lalu.

“Untuk makluman, Kejuaraan SIC MiniGP merupakan program akar umbi untuk mencari pelapis seiring dengan program Road to MotoGP. Kira-kira 52 pelumba telah menghadiri sesi pemilihan yang telah kita jalankan sebelum ini.

“Jadi kesemua pelumba yang terpilih telah pun kita berikan latihan awal sebagai pendedahan dan persediaan mereka sebelum beraksi dalam saingan SIC MiniGP nanti.

“Jika mereka menunjukkan perkembangan yang baik, kita akan bawa mereka bersaing dalam Asean Talent Cup (ATC), kemudiannya ke European Talent Cup (ETC), Kejuaraan Eropah (CEV) dan seterusnya saingan MotoGP,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, Azhan Shafriman mengadakan lawatan ke ibu pejabat Sinar Harian di Shah Alam.

Dalam lawatan itu, beliau diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin berkenaan operasi penerbitan akhbar Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Azhan Shafriman (empat dari kanan) bersama kakitangan Sinar Harian ketika mengadakan lawatan di ibu pejabat Sinar Harian di Shah Alam semalam. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Farah Hussamuddin (dua dari kanan) dan Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin. FOTO MOHD IZARI ROSLI
Azhan Shafriman (empat dari kanan) bersama kakitangan Sinar Harian ketika mengadakan lawatan di ibu pejabat Sinar Harian di Shah Alam semalam. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Farah Hussamuddin (dua dari kanan) dan Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin. FOTO MOHD IZARI ROSLI

Mengulas lanjut penganjuran Kejuaraan SIC MiniGP, beliau memberitahu, edisi sulung itu bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Kart, Sepang dengan melibatkan lima pusingan.

“Pusingan 1 akan diadakan Ahad ini diikuti Pusingan 2 (6 September), Pusingan 3 (25 Oktober), Pusingan 4 (15 November) dan Pusingan 5 (6 Disember). Setiap pusingan bakal menampilkan Perlumbaan 1 dan 2 yang mana setiap pelumba akan menggunakan jentera BucciMoto BR-10 GP.

“Bagi pelumba berusia antara lapan hingga 11 tahun, mereka akan menunggang jentera berkuasa 110cc manakala pelumba berusia antara 12 hingga 13 tahun, menunggang jentera berkuasa 160cc,” jelas Azhan Shafriman.

Pengurus pasukan ZK Racing, Muhammad Zulfahmi Khairuddin pula memberitahu, beliau sedia berkongsi pengalamannya dalam memberi tunjuk ajar kepada barisan pelapis negara itu.

“Kejuaraan SIC MiniGP adalah program kepada pelumba-pelumba cilik. Kita nak jadi seperti negara maju di Eropah dengan melatih mereka sejak kecil lagi dan membuatkan mereka biasa dengan persekitaran perlumbaan yang sebenar.

“Kita mahu mereka menjadi lebih kompetitif dan mampu berentap dengan pelumba pelumba di Eropah.Jadi dengan adanya kejuaraan ini membolehkan para pelumba cilik lebih bersedia dan mendapat pendedahan awal dengan aspek jentera yang akan ditunggangi mereka,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!