SSPL 2018/19: Kepong BC, Petaling BC mara separuh akhir
KELAB Badminton (BC) Petaling mengesahkan tempat ke separuh akhir SS Purple League (SSPL) 2018/19 setelah menang 11-6 ke atas Tebrau City BC di Arena Of Stars, Resorts World Genting malam semalam.
Petaling BC bakal berdepan tugas getir bertemu juara bertahan SSPL, Puchong United sementara itu, Kepong BC yang juga menang di suku akhir petang semalam bakal bertemu Ampang Jaya BC yang belum pernah tewas dalam SSPL musim ini.
Jan O’ Jorgensen memulakan aksi dengan baik buat Petaling BC dalam acara perseorangan lelaki apabila pemain dari Denmark itu meletakkan Petaling BC di depan menerusi kemenangan 3-1 (9-11, 11-6, 11-5, 11-6) mengatasi pemain Tebrau City BC, Adulrach Namkul.
Selepas itu, giliran pemain perseorangan wanita Petaling BC, Yip Pui Yin pula beraksi cemerlang meletakkan pasukannya semakin selesa mendahului 6-2 setelah dia menang 3-1 (11-10, 11-8, 6-11, 11-4) ke atas wakil Tebrau City, Xu Wei.
Apapun, Tebrau City BC tidak mudah menyerah kalah bangkit menerusi beregu lelaki dari Thailand, Peeranat Boontun- Boonsak Ponsana menumpaskan pasangan Petaling BC, Man Wei Chong- Shia Chun Kang 3-2(11-9 10-11 11-9 6-11 11-10) namun Petaling BC masih mendahului 8-5 secara keseluruhan.
Petaling BC yang memerlukan kemenangan dalam beregu campuran untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir SSPL berjaya mencapai misi tersebut apabila Chen Tang Jie- Peck Yen Wei menang 3-1 (11-7, 11-7, 5-11, 11-6) mengatasi Tan Jinn Hwa- Pearly Tan Koong Le sekaligus mara ke separuh akhir.
Biarpun berjaya melayakkan diri ke separuh akhir, Ketua Jurulatih Petaling BC, Ismail Saman tetap khuatir dengan sesetengah pemainnya yang mempamerkan aksi kurang memberangsangkan.
Ismail berkata, “Hari ini pemain bermain dengan bagus mengikut pelan cuma saya agak risaukan adalah beregu lelaki kerana mereka belum menjumpai sentuhan. Bertemu Puchong United, mereka sudah tahu kelemahan kita dan saya perlu memperbaiki kelemahan tersebut sebelum beraksi.”
“Pemain beregu lelaki kita iaitu Man Wei Chong- Shia Chun Kang kurang serasi dan kerap melakukan kesilapan mudah. Saya akan memberikan nasihat dan motivasi kepada mereka malam ini sebelum kita turun bertemu Puchong United dalam separuh akhir,”kata Ismail.
Kepong BC yang beraksi di sebelah petang menepati ramalan apabila berjaya melepasi peringkat suku akhir SSPL 2018/19 dengan menewaskan Serdang BC 10-4 di venue sama.
Apapun, Kepong BC menerusi Soong Joo Ven bermula agak perlahan selepas tewas dalam aksi perseorangan lelaki.
Joo Ven gagal menangkis asakan pemain muda, Leong Jun Hao sekaligus tewas tipis 2-3 (11-5 5-11 10-11 11-6 10-11).
Dalam acara perseorangan wanita selepas itu, Kepong BC mula menunjukkan taring apabila pemainnya, Qin Jin Jing dari China mudah menumbangkan pemain Serdang BC, Wei Yawen 3-0 (11-5 11-9 11-7) untuk kembali mendahului keseluruhan 5-3.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!