Tiga maut kemalangan di Kuala Krai

Proton X70 yang terbakar selepas gagal menggelak dan turut melanggar treler dalam kemalangan itu. Gambar kecil dari kiri: Syed Muhammad Khairi, Mohammad Zulfairy dan Zainuri Idham
Proton X70 yang terbakar selepas gagal menggelak dan turut melanggar treler dalam kemalangan itu. Gambar kecil dari kiri: Syed Muhammad Khairi, Mohammad Zulfairy dan Zainuri Idham
A
A
A

KUALA KRAI - [DIKEMAS KINI] Tiga lelaki termasuk dua warga Thailand maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu- Gua Musang berdekatan Masjid Kampung Pahi di sini awal pagi tadi.

Kemalangan berlaku pada jam 4.50 pagi itu membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 dan sebuah treler.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, mangsa yang maut ialah pemandu Mitsubishi Triton, Zainuri Idham Mohamad Zulkifli, 22, yang juga seorang mekanik beralamat di Kampung Kutan Hulu, Wakaf Baru, Tumpat.

Menurutnya, dua lagi mangsa maut ialah warga Thailand iaitu pembantu mekanik, Mohammad Zulffairy Nasir, 19, dan pembantu kedai, Syed Muhammad Khairi Syed Ismail, 19 yang juga penumpang Mitsubishi Triton.

Tiga maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki mereka terlibat kemalangan.
Tiga maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki mereka terlibat kemalangan.

"Pemandu treler berusia 50 tahun, guru wanita berusia 54 tahun yang pemandu Proton X70 dan seorang pensyarah wanita berusia 34 tahun yang menumpang SUV berkenaan terselamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Suzaimi berkata, siasatan awal kejadian dipercayai berlaku apabila Mitsubishi Triton dipandu Zainuri dari arah Kota Bharu menuju ke Gua Musang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah treler.

“Enjin Mitsubishi Triton tercabut dan dipercayai terkena pada bahagian hadapan Proton X70 yang berada di belakang menyebabkan SUV itu terbakar.

Artikel Berkaitan:

“Akibat pelanggaran tersebut, seorang mangsa tercampak keluar dan dua tersepit dalam kenderaan pacuan empat roda berkenaan menyebabkan mereka mengalami kecederaan parah serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan diteruskan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan lurus satu hala satu lorong dan tiada kerosakan.

“Kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk pengecaman mayat oleh waris dan bedah siasat.

“Kenderaan yang terlibat dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!