Identiti mangsa nahas MPV dikenal pasti
IPOH - Identiti tujuh mangsa yang maut dalam nahas kereta dan treler di KM5 Keramat Pulai di sini semalam telah dikenal pasti.
Mereka yang maut adalah pemandu, Mohd Zairul Mat Isa, 34; isterinya, Nuratiqah Abd Hamid, 30 dan anak bongsu, Nur Qaseh Damia Mohd Zairul, 4 tahun serta ibunya, Fatimah Mat Isa, 68.
Turut maut keluarga sepupunya, Zulkifli Shuib, 49 dan isterinya, Hasliza Mahmud, 40 dan anaknya, Mohd Alif Firdaus, 3 tahun.
Tiga mangsa terselamat adalah Muhammad Haziq Zikri Mohd Zairul, 9 tahun yang dilaporkan patah tangan kanan manakala dua beradik iaitu anak kepada Hasliza, Firash Mikhael Azrie Syah, 11, dan abangnya yang dikenali sebagai Apit berusia 16 tahun, mereka masih ditempatkan di zon merah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat cedera parah.
ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh maut, Alza bertembung lori
Nahas MPV: Saksi sayu terdengar jeritan, tangisan mangsa
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Simpang Pulai.
"Setibanya di tempat kejadian, kereta mangsa didapati hilang kawalan telah masuk ke laluan bertentangan sebelum berlaku pertembungan dan terbalik menyebabkan kesemua mangsa terperangkap di dalam kenderaan.
"Tujuh mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tiga yang terselamat masih dirawat di HRPB," katanya.
Menurutnya, pemandu treler berusia 32 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketika kejadian, MPV yang membawa dua keluarga dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Badlishah, Mukim Terap, Serdang, Kedah selepas bercuti di Pulau Pangkor dan Cameron Highlands sejak Ahad lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!