PH Perak sedia bantu Tun M pada PRK Slim

 Dr Abdul Aziz Bari
Dr Abdul Aziz Bari
A
A
A

IPOH - Pakatan Harapan (PH) Perak menyatakan kesediaan membantu calon Bebas yang akan mewakili parti baharu ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, PH memang memberikan laluan sepenuhnya kepada parti baharu ditubuhkan Dr Mahathir untuk bertanding pada PRK tersebut.

Menurutnya, sehubungan itu, semua parti-parti di dalam PH akan memberikan segala bentuk bantuan yang diperlukan oleh calon parti yang akan menentang BN itu nanti.

"Kita akan turun memberikan sokongan kepada mereka sebagai bukti bahawa kita bersama-sama mereka menentang BN. Kita tidak mahu membuang masa dengan meletakkan calon dan cukup sekadar membantu mereka.

"Perkara ini tak perlu dibincangkan di peringkat negeri kerana ketua pembangkang di peringkat Pusat pun sudah mengumumkan perkara berkenaan.

"Itu sudah cukup menjadi konsensus untuk kita turun membantu," katanya kepada pemberita ketika mengadakan perjumpaan dengan media di kediamannya di sini hari ini.

Ditanya mengenai penggunaan lambang mana-mana parti di dalam PH oleh calon bebas daripada parti Dr Mahathir, Abdul Aziz berkata, pihaknya belum mempunyai keputusan tentang perkara tersebut.

Katanya, sebarang keputusan mengenai perkara tersebut hanya boleh dibuat setelah turun ke kawasan DUN Slim bagi melihat sentimen pengundi di situ.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, difahamkan malam ini, Dr Mahathir akan berada di Slim River bagi menghadiri Majlis Memperkenalkan Calon PRK N58 DUN Slim.

Pengerusi BN Perak yang juga Pengarah PRK DUN Slim, Datuk Saarani Mohamad juga dijadual mengumumkan calon BN bagi PRK DUN Slim pada petang ini.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 Ogos ini sebagai Hari Penamaan Calon diikuti 25 Ogos untuk pengundian awal dan 29 Ogos hari pengundian sebenar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!