'UMNO tetap sokong PN sebab tiada DAP'

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR – UMNO akan tetap menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diwujudkan hari ini kerana kerajaan itu tidak mempunyai DAP dan konco-konconya 'pemecah bangsa' bersamanya.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO turut berpendirian akan kekal teguh dalam Muafakat Nasional (MN) bersama Pas dan rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) kerana sebarang bentuk perpecahan tidak menguntungkan rakyat.

Menurutnya, orang Melayu tidak akan menyokong DAP dan tidak suka dengan parti-parti lain bersama DAP yang dianggap beliau sebagai 'pemecah bangsa'.

"Selamat tinggal DAP dan parti-parti yang menyokongnya. Selamat datang muafakat yang berkat, manfaatnya kepada rakyat.

"UMNO tetap menyokong kerajaan yang ada kerana #DAP & konco-konconya tiada dalam perikatan ini.

"Orang #Melayu tidak sokong DAP dan kita tidak suka dengan pemecah bangsa bersama DAP,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosialnya hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad turut menjelaskan usaha mempertahankan perpaduan itu adalah jalan terbaik kerana tidak pernah perpaduan dengan niat baik itu merugikan.

"Perbalahan puluhan tahun yang dihentikan itu adalah jalan terbaik telah kita pilih. Alhamdulillah," katanya.

Artikel Berkaitan:

14 September tahun lalu, UMNO dan Pas mencipta sejarah apabila memeterai Piagam Muafakat Nasional yang antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Kerjasama MN itu terus membawa hasil positif kepada kedua-dua parti apabila mereka berjaya memenangi enam pilihan raya kecil (PRK) termasuk terbaharu, PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini sejak piagam kerjasama politik itu termeterai.

Muafakat Nasional juga turut memainkan peranan penting dalam membentuk kerajaan PN susulan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari lalu, bersama-sama Parti Pribumi Rakyat Malaysia (Bersatu) fraksi bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!