Bahagian Perlindungan bakal dijenamakan semula

Shabudin (tengah) ketika merasmikan Majlis Outreach Program Perlindungan Saksi di Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
Shabudin (tengah) ketika merasmikan Majlis Outreach Program Perlindungan Saksi di Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya menyasarkan untuk menjenamakan semula Bahagian Perlindungan sebagai sebuah Agensi Perlindungan Saksi Malaysia (APSM) dalam masa terdekat.

Namun katanya, untuk merealisasikan hasrat itu ia perlu diperhalusi mengikut prosedur yang ditetapkan sebelum dapat dilancarkan.

"Malah, tidak dapat tidak, ia akan melibatkan pelbagai strategi dan pelan tindakan bagi mengharungi kompleksiti dan bebanan yang bertambah dari semasa ke semasa.

"Saya menyarankan agar Bahagian Perlindungan dapat mengadakan sesi libat urus bersama agensi-agensi pusat berkaitan perkara ini," katanya ketika berucap pada Majlis Outreach Program Perlindungan Saksi dan Sambutan 10 Tahun Bahagian Perlindungan di Hotel Grand Blue Wave, di sini hari ini.

Beliau hadir mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyudin Hassan.

Turut hadir, Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Norazman Mohamed Ariffin dan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Sementara itu, Mohamed Norazman berkata, penjenamaan semula kepada Agensi Perlindungan Saksi Malaysia ini amat penting bagi menonjolkan peranan sebenar Bahagian Perlindungan.

Artikel Berkaitan:

Shabudin Yahaya (depan, tiga dari kiri) dan Mohamed Norazman (depan, dua dari kiri) serta Noor Azam (depan, tiga dari kanan) pada Majlis Outreach Program Perlindungan Saksi di Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
Shabudin Yahaya (depan, tiga dari kiri) dan Mohamed Norazman (depan, dua dari kiri) serta Noor Azam (depan, tiga dari kanan) pada Majlis Outreach Program Perlindungan Saksi di Shah Alam hari ini. - Foto Bernama

Menurutnya, Bahagian Perlindungan telah wujud sejak 2009 dengan nama awalnya Unit Perlindungan Saksi sebelum ditukar kepada nama Bahagian Perlindungan pada 2013.

Namun katanya, sehingga kini Bahagian Perlindungan ini kurang dikenali, masyarakat tidak tahu dan ia turut menyukarkan urusan dengan saksi.

"Jadi penjenamaan semula perlu dibuat segera memandangkan kini sudah berada di tahun 2020 dan Bahagian Perlindungan juga ada banyak 'success story' termasuk menang kes berprofil tinggi apabila saksi memberi keterangan di mahkamah serta membantu Timbalan Pendakwa Raya.

"Dengan adanya nama baharu, kita dapat selaraskan nama itu untuk berurusan dengan agensi keselamatan lain di negara ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah bertemu Takiyuddin untuk menyampaikan hasrat itu pada 27 April lalu dan berharap akan mendapat kelulusan secepat mungkin.

Tambahnya, jika usaha penjenamaan semula dapat dilakukan, beliau melihat akan berlaku perubahan dari segi peluasan skop.

"Kita harap kementerian dapat buat inisiatif pembesaran kerana kita akan memerlukan beberapa jawatan strategik diwujudkan.

"Contohnya, pegawai-pegawai psikologi untuk membantu saksi yang menghadapi tekanan dalam program kami serta pegawai dasar dan antarabangsa untuk berhubung dengan pihak agensi perhubungan saksi lain di Indonesia, Hong Kong, Australia dan sebagainya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!