Kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran ditahan
KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tompok Utara, pantai timur Johor, dekat sini semalam.
Pengarah APMM Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal yang berdaftar di Pelabuhan Klang itu ditahan kapal ronda APMM pada jam 1 petang pada kedudukan 2.6 batu nautika ke utara Tanda Suar Tompok Utara.
"Kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh. Kapal tersebut dikendalikan sembilan kru lelaki termasuk nakhoda berumur lingkungan 21 hingga 58 tahun melibatkan warga Malaysia, Myanmar dan Sri Lanka.
"Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu berlabuh dan tunggu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Jelasnya, perairan Permatang Timur, Beting Ramunia dan Tompok Utara masih berada dalam wilayah Malaysia dan bukan perairan antarabangsa walaupun jaraknya melebihi 12 batu nautika dari daratan terdekat.
Justeru katanya, sebarang aktiviti perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa di Malaysia dengan mengikut undang-undang sedia ada.
"APMM ingin menegaskan supaya kapal-kapal di kawasan tersebut mendapatkan kebenaran Jabatan Laut Malaysia sahaja (untuk berada di kawasan itu) atau segera beredar kerana operasi akan diteruskan dari masa ke semasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!