Mohd Isa fail permohonan dapat semula pasport saat akhir sebutan kes
KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini mengemukakan permohonan bagi mendapatkan semula pasportnya untuk menunaikan umrah semasa sebutan semula kes pecah amanah dan rasuah yang dihadapinya didengar di Mahkamah Sesyen di sini.
Mohd Isa, 70, yang merancang menunaikan umrah dari 10 hingga 21 Februari ini, mengemukakan permohonan itu melalui peguamnya, Ridha Abdah Subri kepada Hakim Azura Abas.
Bagaimanapun, Azura menegur tindakan peguam itu yang lewat mengemukakan permohonan kerana akan mengganggu kelancaran prosiding mahkamah untuk kes-kes yang lain.
"Saya tak nak halang untuk dapatkan pasport, apa lagi untuk buat ibadat...tapi kenalah rancang awal-awal. Ia tidak adil untuk semua bersetuju untuk menetapkan tarikh kerana ia tidak sesuai untuk mahkamah,” katanya sambil menegaskan permohonan perlu dibuat sekurang-kurangnya satu bulan setengah lebih awal.
Terdahulu, Ridha Abdah memaklumkan pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan semula pasport itu secara dalam talian semalam, bagaimanapun terdapat sedikit masalah teknikal dan turut memohon maaf atas kelewatan menfailkan permohonan tersebut.
Mahkamah menetapkan 31 Januari ini bagi mendengar permohonan mendapatkan semula pasport dan 26 Februari ditetapkan untuk sebutan semula kes pecah amanah dan rasuah dan serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai.
Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!